KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berikutan senario politik di Sabah tidak memungkinkan sesebuah parti bertanding secara solo.
“Memahami suasana di Sabah, tidak mungkin berlaku sesebuah parti politik bertanding secara solo pada PRN Sabah kerana perkara itu sangat tidak relevan.
“Jadi kepemimpinan PN kini sedang merangka hala tuju gabungan parti politik ini dan kemungkinan membentuk kerjasama dengan Warisan tetap ada,” katanya selepas menyertai program ‘Batik Fun Run’ anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dataran Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, pihaknya sudah memberi arahan kepada pucuk pimpinan parti itu di Sabah untuk mula mengenal pasti nama-nama calon bergantung kepada kerusi yang diperuntukkan kepada mereka dalam PRN kali ini. – UTUSAN











