Perpustakaan Digital Kota Melaka manfaatkan 100 pelajar B40

Perpustakaan Digital Kota Melaka manfaatkan 100 pelajar B40

KHOO Poay Tiong (kiri) bersama pelajar yang menggunakan kemudahan di Perpustakaan Digital Parlimen Kota Melaka sempena majlis peluncurannya di Kampung Tujuh, Jalan Gajah Berang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perpustakaan Digital Parlimen Kota Melaka yang dibuka di Kampung Tujuh, Jalan Gajah Berang di sini menjadi inisiatif komuniti pertama di kawasan itu bagi menarik minat pelajar khususnya daripada keluarga B40, terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, perpustakaan digital itu mampu menampung seramai 100 pelajar pada satu-satu masa dengan memberi tumpuan kepada lapan sekolah menengah di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan tersebut memberi peluang kepada pelajar yang tidak memiliki komputer atau capaian internet di rumah untuk mengakses pembelajaran dalam suasana kondusif dan selesa.

“Ramai anak-anak B40 tidak mempunyai kemudahan komputer dan internet di rumah, sekali gus menyukarkan mereka mengikuti pembelajaran terutama semasa pandemik Covid-19.

“Sebab itu perpustakaan ini menyediakan penggunaan komputer, capaian Wi-Fi dan e-buku secara percuma supaya mereka ada ruang dan peluang belajar,” katanya pada Majlis Peluncuran Perpustakaan Digital, hari ini.

Poay Tiong berkata, kemudahan itu dibangunkan hasil cadangan beliau sebagai wakil rakyat dengan sokongan pihak swasta yang menaja sepenuhnya pembinaan perpustakaan tersebut.

Katanya, keutamaan perpustakaan digital itu adalah mendekatkan pelajar kepada subjek sains dan matematik agar mereka terdorong memilihnya ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sasarkan 60 peratus pelajar mengikuti jurusan sains dan untuk capai sasaran itu, minat mereka perlu dipupuk dari awal melalui pelbagai program di perpustakaan ini.

“Pada masa depan, kita mahu naik taraf kemudahan ini menjadi AI library (perpustakaan dengan kecerdasan buatan) dengan kerjasama industri supaya generasi muda dapat bersedia menghadapi cabaran teknologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN