PETALING JAYA: Malaysia hanya akan terus maju jika seluruh rakyat melangkah bersama sebagai sebuah keluarga besar yang menghargai perbezaan dan meraikan persamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat perpaduan itu perlu sentiasa dipelihara dan diperkuatkan demi masa depan negara yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing.
Katanya, beliau amat tersentuh melihat pelbagai persembahan yang bukan sahaja memukau, malah dipenuhi nilai perpaduan, kekitaan dan cinta tanah air.
“Persembahan itu disambut meriah oleh lautan rakyat yang membanjiri setiap ruang Dataran Putrajaya sejak awal pagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kabinet. – UTUSAN.











