SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu peraturan atau undang-undang lebih tegas untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape dilaksanakan bukan hanya di negeri ini bahkan di seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengharaman vape itu sudah pun dipersetujui dalam Majlis Raja-Raja untuk negeri-negeri mengambil tindakan berkenaan namun undang-undang mengenainya haruslah jelas.
“Hari ini kalau saya kata haram penjualan vape, masih berjual macam biasa (esok), longgar. Kita tidak boleh melaksanakannya apabila kita tidak ada undang-undang dan peraturan.
“Kehadiran pengharaman itu harus bersama dengan peraturan dan undang-undang, barulah dapat berjalan dengan baik. Negeri Sembilan menyokong pengharaman tetapi memerlukan peraturan dan undang-undang yang tegas.
“Macam dadah, kita kata haram, ada peraturan, hukuman dan denda. Oleh itu, perlu dikaji semula supaya ada peraturan, ada undang-undang yang boleh dilaksanakan apabila pengharaman ini dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini, hari ini.
Enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah melaksanakan larangan awal termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik.
Terdahulu, isu rokok elektronik atau vape hangat diperdebatkan selepas ketua pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) menggesa kerajaan negeri mencontohi negeri-negeri lain dalam tindakan mengharamkan vape.-UTUSAN










