Adakan libat urus bersama industri, selesaikan isu salah guna vape

Adakan libat urus bersama industri, selesaikan isu salah guna vape

Kerajaan digesa mengadakan libat urus dengan pemain industri rokok elektronik atau vape bagi merangka penyelesaian praktikal dan berkesan .-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengadakan libat urus dengan pemain industri rokok elektronik atau vape bagi merangka penyelesaian praktikal dan berkesan dalam usaha mencegah penyalahgunaan produk berkenaan tanpa menjejaskan sektor ekonomi yang sedang berkembang.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, langkah mengharamkan penjualan vape bukanlah pendekatan terbaik kerana ia berpotensi menjejaskan usaha sedia ada dalam mengawal selia industri tersebut secara berkesan.

Katanya, larangan tidak pernah menjadi penyelesaian berkesan dalam menangani isu penyalahgunaan, malah ia hanya memburukkan keadaan dengan mendorong pengguna beralih ke pasaran gelap yang menjual produk tidak dikawal, tidak selamat dan mudah diakses oleh golongan bawah umur.

“Apabila pengguna disekat daripada mendapatkan produk vape yang sah, mereka akan mencari alternatif di pasaran haram. Ini mendedahkan mereka kepada produk yang tidak dikawal dan berpotensi membahayakan kesihatan.

“Perlu ditegaskan bahawa industri yang sah bukan penyebab kepada penyalahgunaan vape sebaliknya pasaran gelap yang terus beroperasi di luar skop perundangan sedia ada termasuk Akta 852,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridhwan berkata, tindakan mengharamkan penjualan vape secara sah hanya akan menghukum perniagaan yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan sekali gus menjejaskan usaha pengurangan kemudaratan yang sedang dilaksanakan di di negara ini.

Katanya, data yang direkodkan di dalam dan luar negara turut menunjukkan bahawa larangan terhadap produk berkenaan tidak mengurangkan penggunaan, sebaliknya menyebabkan berlakunya peningkatan penggunaan produk tidak sah yang lebih membahayakan.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, walaupun vape mengandungi nikotin diharamkan ketika itu, kira-kira 1.1 juta rakyat Malaysia dengan 4.9 peratus daripada populasi tetap menggunakan produk tidak dikawal.

“Begitu juga di Johor dan Kelantan, meskipun larangan penjualan telah dikuatkuasakan sejak 2015, penggunaan masih tinggi dengan lebih 150,000 pengguna di Johor dan lebih 30,000 di Kelantan.

“Singapura turut menunjukkan tren yang sama apabila data kaji selidik Milieu Insight dari suku ketiga 2021 hingga suku keempat 2023 merekodkan peningkatan kadar penggunaan vape daripada 3.9 peratus kepada 5.2 peratus penduduk walaupun negara itu melaksanakan larangan sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, industri vape merupakan antara penyumbang kepada ekonomi negara dengan nilai pasaran mencecah RM3.48 bilion pada 2023 di samping menyokong lebih 7,500 kedai runcit am, 2,500 kedai vape khusus dan menyediakan lebih 31,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“DPVM menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan jawatankuasa pakar untuk mengkaji dasar berkaitan vape dan menyokong semakan menyeluruh terhadap aspek perindustrian, kawal selia, ekonomi serta pelesenan.

“Namun, bagi memastikan proses ini benar-benar berkesan, industri vape yang sah wajar dilibatkan dalam perbincangan bersama pakar ketagihan dan pengurangan kemudaratan. 

“Jika pihak berkepentingan utama diketepikan, dasar yang digubal kelak berisiko gagal menangani punca sebenar penyalahgunaan serta menjejaskan matlamat kesihatan awam,” katanya.

Sehubungan itu, Ridhwan berkata, pihaknya menekankan bahawa pendekatan kolaboratif adalah lebih berkesan berbanding larangan menyeluruh.

“Penguatkuasaan bukan larangan adalah kunci utama. Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memperkukuh kawal selia, meningkatkan pematuhan dan melindungi kesihatan awam tanpa memusnahkan sektor sah yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN