SEJAK dua tiga hari ini kelihatan beberapa kerajaan negeri berlumba-lumba untuk mengharamkan penjualan vape di negeri mereka. Alasan yang diberikan adalah untuk menyelamatkan anak-anak muda kerana ramai yang khayal dan ada yang dikatakan terkena serangan sawan (walaupun tidak ada siapa dapat sahkan sama ada ia benar-benar berpunca dari vape).
Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyokong industri vape. Tetapi sekadar memberi perspektif dan supaya ada sedikit nilai kemanusiaan dalam setiap tindakan yang diambil.
Di negeri-negeri yang mahu mengharamkan produk ini sudah tentu mempunya banyak premis yang menjualnya. Jika, notis penutupan itu diberikan dalam masa terlalu singkat apa akan jadi kepada mereka? Adakah sempat mereka menceburi perniagaan lain apabila premis itu ditutup?
Bagaimana pula dengan stok mereka? Tidakkah ini akan menyumbang kepada jualan di pasaran gelap? Adakah dengan menutup premis-premis terbabit maka vape akan pupus di negeri berkenaan?
Bagi para pengusaha dan pemilik kedai vape, mereka melihat tindakan itu lebih kepada persepsi atau populis. Sebabnya, kalau diikutkan dari segi fatwa, rokok sudah lama difatwakan haram. Tetapi ia tetap dijual secara berleluasa termasuk dalam kalangan pelajar sekolah dan ada yang mencampurkan dengan ganja. Jika menggunakan alasan ia memudaratkan kesihatan, kena juga tengok produk lain yang mengancam kehidupan rakyat negara ini.
Antara yang berada disenarai utama sebagai pembunuh sudah tentulah gula. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, penghidap diabetes dalam kalangan dewasa Malaysia adalah 15.6 peratus. Maksudnya satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes.
Laporan International Diabetes Federation (IDF) pula mendapati lebih 4.4 juta kes diabetes dalam kalangan orang dewasa di Malaysia, menjadikan kita antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Tentu ada dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri yang menghidap diabetes. Tetapi ada tak yang mengalami masalah kesihatan kerana vape?
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024 menyatakan diabetes adalah 10 penyebab utama kematian di Malaysia, terutamanya dalam kalangan etnik Melayu.
Ia menyumbang kepada komplikasi serius seperti penyakit jantung iskemik, yang merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di negara ini. Siapa berani bagi cadangan haramkan gula? Boleh hilang undi ketika pilihan raya.
Bagaimana pula dengan alkohol? Ia bukan sahaja memudaratkan peminum tetapi juga orang yang tidak bersalah.
Kematian berkaitan alkohol di Malaysia
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2016, sebanyak 17.6 peratus kematian lelaki dan 10.9 peratus kematian wanita akibat kemalangan jalan raya dikaitkan dengan alkohol.
Begitu juga dengan penyakit serosis hati. Sebanyak 16.8 peratus kematian lelaki dan 16.2 peratus kematian wanita akibat sirosis hati berpunca daripada alkohol.
Untuk penyakiit kanser pula, data Pertubuhan Kesihatan Dunia mendapati 20.2 peratus kematian lelaki dan 0.6 peratus kematian wanita akibat kanser berkaitan dengan alkohol.
Lebih memudaratkan lagi ialah kematian orang yang tidak bersalah akibat pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Data Kementerian Pengangkutan Malaysia menunjukkan antara tahun 2011 hingga 2018 sebanyak 1,147 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk.
Kematian tahunan tertinggi berlaku pada 2016 dengan 237 kes, namun menurun kepada 58 kes pada 2017 dan 54 kes pada 2018.
Begitu juga insiden akibat keracunan alkohol. Pada September 2018, Malaysia mengalami insiden keracunan metanol yang serius dengan 45 kematian dilaporkan akibat pengambilan minuman keras tiruan yang mengandungi metanol berlebihan.
Adakah alkohol diharamkan penjualan ekoran kemudaratan itu? Tentunya tidak. Sebaliknya penjualannya dikawal. Ada peraturan. Tidak boleh buka kedai akau jual kepada orang secara sembrono. Kalau memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara. Cara mengawalnya kemudaratan alkohol adalah melalui kawalan, peraturan dan undang-undang. Bukannya tutup premis perniagaan.
Masalah kesihatan dan kematian akibat rokok
Rokok adalah kes yang sangat klasik di negara kita. Walaupun difatwakan haram, tetapi ia tetap dijual secara berleluasa.
Dari segi implikasi juga cukup jelas. Hingga Kementerian Kesihatan bertindak mewajibkan pengeluar memaparkan imej mengerikan pada kotaknya. Cukup dahsyat. Kalau sudah begitu dahsyat kenapa tidak ada negeri yang mengharamkannya?
Di Malaysia, angka-angka kajian mengesahkan merokok menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah. Statistik terkini menunjukkan bahawa kira-kira 26,000 hingga 27,200 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan merokok, termasuk kanser paru-paru, penyakit jantung, strok, dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Data daripada Global Burden of Disease (GBD) 2021 menunjukkan 24,100 kematian di Malaysia dikaitkan dengan penggunaan tembakau, yang merangkumi 15.03 peratus daripada semua kematian dalam kalangan lelaki dan 4.44 peratus dalam kalangan wanita.
Rokok juga memberikan kesan ekonomi yang sangat signifikan kepada negara. Kerajaan dijangka membelanjakan kira-kira RM7.4 bilion untuk rawatan penyakit utama yang disebabkan oleh merokok, seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari.
Soalannya, kalau begitu sekali dahsyat kesan rokok kepada masyarakat dan negara kenapa ia tidak diharamkan? Adakah ia tidak memberi kesan mudarat kepada orang muda dan pelajar sekolah? Adakah ia tidak membawa kepada penagihan dadah?
Ia tidak diharamkan. Sebaliknya diwujudkan peraturan. Itupun sangat longgar termasuk tidak boleh jual kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun (tetapi tetapi dijual sebab itu ramai pelajar sekolah jadi penagih rokok). Tetapi tidak pula negeri-negeri yang mengharamkan vape ini turut sama mengharamkan rokok. Mungkin takut dari segi implikasi ekonomi dan implikasi hilang undi.
Sikap talam dua muka pada vape
Sikap talam dua muka pemimpin dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan kepentingan awam amat mendukacitakan. Ketika rokok dan alkohol yang lebih berbahaya boleh dikawal dengan peraturan kenapa vape tidak boleh? Tidak kasihankah kepada para peniaga yang menanggung pelbagai kos?
Tidakkah mereka tahu bahawa ada vape buatan tempatan yang memenuhi segala ciri dan piawaian keselamatan dan diluluskan oleh Sirim?
Kementerian Kesihatan pula bertindak secara flip-flop dalam isu vape ini. Kenapa tidak boleh wujudkan peraturan dan undang-udang seperti rokok dan alkohol?
Buatlah sesi libat urus dengan para pengeluar dan pengedar. Bekerjasama dengan polis dan kastam untuk bendung produk seludup yang memudaratkan.
Ini bukan soal menegakkan benang yang basah. Tetapi penguasa kena berlaku adil kepada semua. Kenapa menggunakan peraturan dan undang-undang yang berbeza kepada subjek yang mudaratnya adalah sama?
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










