PARLIMEN: Sarawak jadi negeri jelapang padi terbesar menjelang 2030

PARLIMEN: Sarawak jadi negeri jelapang padi terbesar menjelang 2030

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sarawak disasarkan menjadi jelapang padi terbesar Malaysia menjelang 2030 selaras usaha kerajaan negeri memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan hasil pertanian secara mampan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri itu sebagai hab keterjaminan makanan selaras dengan pelaksanaan Sarawak PCDS 2030. 

Katanya, usaha itu tertumpu kepada pelaksanaan sepuluh projek pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur pengairan serta saliran dengan jumlah kos keseluruhan RM271.89 juta, manakala baki kos projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) adalah RM157.8 juta.

“Selain itu, tiga projek baharu dicadangkan di kawasan IADA Samarahan, Bijat-Stumbin (Sri Aman) dan Daro Padi (Mukah) dengan jumlah kos RM88.3 juta. 

“Projek-projek ini dijangka meningkatkan kelestarian sumber air, hasil padi dan memperkukuh infrastruktur bagi menyokong keterjaminan makanan di negeri ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai perancangan kerajaan menjadikan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan atau Zon Tumpuan Keterjaminan Makanan dalam dasar lima tahun.

Arthur berkata, langkah ini bukan sahaja bagi memastikan Sarawak mampu menghasilkan padi secara optimum, tetapi juga menyokong pembangunan seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, dalam sektor tanaman lain, kerajaan menumpukan kepada pengeluaran jagung bijian, bawang dan kopi dengan tiga projek bernilai RM10.21 juta sepanjang tempoh RMK-13. 

“Langkah ini selaras dengan sasaran nasional untuk mencapai 30 peratus pengeluaran tempatan jagung bijian menjelang 2040 dan bawang menjelang 2030.

“Melalui RMK-13, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menekankan tiga strategi utama iaitu meningkatkan pengeluaran makanan, memantapkan keterjaminan bekalan dan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

“Bagi menjayakan usaha ini, sektor agro makanan akan memberi fokus kepada projek pengeluaran berskala besar, penggunaan teknologi termaju, inovasi serta amalan pertanian mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×