KUALA LUMPUR: Dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu perlu ditangguhkan sekiranya tahap kesiapsiagaan pelaksanaan dasar itu masih belum memadai.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, masih banyak persoalan yang belum dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan khususnya berkaitan kesiapsiagaan sekolah, jumlah pelajar terlibat serta persediaan tenaga pengajar.
Katanya, ibu bapa kini berada dalam keadaan bimbang dan kelam-kabut susulan pendaftaran yang telah dibuka tanpa penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan dasar tersebut.
“Isunya ialah hari ini rakyat menanti-nanti apa perkembangannya. Tidak ada jawapan jelas daripada pihak kerajaan khususnya daripada Menteri Pendidikan sampai hari ini.
“Jadi inilah yang rakyat sedang tanya, proses itu dah sampai mana? Kita tanya sekolah sedia banyak mana, berapa ramai pelajar boleh masuk, guru macam mana. Yang ini masih belum dijawab,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, di sini hari ini.
Pada 8 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan pendaftaran kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah rendah dijadual bermula 15 Februari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendaftaran itu dibuat secara dalam talian dan ketika ini, persiapan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan cadangan tersebut adalah pada tahap yang maksimum.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan secara telus tahap kesiapsiagaan pelaksanaan itu sambil menegaskan dasar itu tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa sehingga menjejaskan murid.
“Buat kelam-kabut yang akhirnya nanti pelajar akan jadi tikus makmal. Jangan buat kalut, buat bagi lelok. Semua orang boleh sokong.
“Kalau belum bersedia, kita desak supaya dasarnya ditangguhkan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Isunya ialah buat kelam-kabut,” katanya. – UTUSAN









