KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan menghadkan tempoh Perdana Menteri dan pengasingan kuasa pendakwaan didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tiada proses semak serta seimbang.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menyentuh kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.
Katanya, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara tertentu termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa terikat kepada nasihat mana-mana pihak.
“Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Tiada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun atau lima tahun. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ia bercanggah dengan Perkara 40 dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri sesiapa sahaja asalkan beliau seorang Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pembangkang turut menyifatkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya hanya memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.
Beliau mendakwa pindaan dicadangkan hanya memindahkan kuasa itu secara salin dan tampal kepada Pendakwa Raya melalui Perkara 145B(1) dengan peruntukan hampir sama.
“Ini bermakna kuasa mutlak itu tidak dihapuskan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya. Perkara yang menjadi perhatian pihak pembangkang ialah ketiadaan mekanisme akauntabiliti dan semak imbang terhadap Pendakwa Raya.
“Seorang menteri bertanggungjawab kepada Parlimen dan Kabinet, namun Pendakwa Raya tidak bertanggungjawab secara langsung kepada mana-mana institusi dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Beliau justeru itu mengesa kedua-dua RUU itu disemak semula sebelum diteruskan untuk bacaan kali kedua dan wajar dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian dan pindaan sewajarnya dibuat.
“Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini. Sebaliknya, rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan membuat pindaan-pindaan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN








