KUALA LUMPUR: Setiap pelantikan pembekal perkhidmatan dibuat melalui proses saringan yang ketat, mematuhi polisi serta garis panduan perolehan yang telah diluluskan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu diluluskan pada Disember 2021 dan dikuatkuasakan pada Mac 2022, dengan pelaksanaan perolehan dibuat sama ada melalui tender terbuka atau rundingan terus bergantung kepada keperluan.
“Pada 2012, TH telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan untuk dikecualikan daripada proses perolehan kerajaan dengan kuasa pelantikan diberikan sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah.
“Bagi kes yang dibangkitkan, rundingan terus telah dilakukan secara teliti dengan konsortium syarikat perunding yang mempunyai kepakaran berbeza bagi menyusun semula strategi khususnya dalam fungsi tabungan, bagi menangani kadar simpanan rendah dalam kalangan pendeposit,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai amalan perolehan runding terus oleh agensi berkenaan.
Mohd. Na’im berkata, setiap pemilihan melalui rundingan terus tetap tertakluk kepada proses tatakelola yang ketat termasuk penilaian teknikal dan komersial, perundingan harga, kelulusan Jawatankuasa Tender sebelum dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan nilai terbaik kepada organisasi.
“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan TH di bawah Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain, seorang tokoh korporat yang terbukti berwibawa dalam urusan pelaksanaan.
“Penjelasan mengenai rundingan terus yang dibuat mempunyai kewajaran serta justifikasi munasabah. Syarikat terbabit juga tidak terlibat dalam urusan dasar kerana strategi dan keputusan akhir terletak kepada kepimpinan TH,” katanya.
Mohd. Na’im turut menyeru agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap TH sehingga terdorong mengeluarkan simpanan masing-masing.
“Perlu diinsafi bahawa tindakan itu memberi implikasi besar, bukan sahaja kepada institusi Tabung Haji, malah kepada pendeposit sendiri kerana simpanan inilah yang menjadi jalan untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.-UTUSAN










