KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen menerima sumbangan sara hidup daripada kerajaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penerima terdiri daripada pesara yang menerima pencen bulanan di bawah paras garis kemiskinan iaitu RM1,198.
“Kalau pendapatan di bawah RM1,198, kita tambah lagi bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan.
“Kedua, bantuan diberikan kepada anggota tentera berpencen yang mempunyai ahli keluarga kurang upaya (OKU) serta masih bersekolah.
“Bantuan sara hidup tidak terhad kepada penerima tidak berpencen sahaja, malah turut diberikan kepada penerima pencen bagi memastikan kebajikan ahli keluarga mereka terpelihara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengenai saluran bantuan bagi veteran ATM yang terkesan selepas isu pelarasan pencen veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013, serta status cadangan pelaksanaan pelarasan pencen tujuh peratus lagi yang dijangka pada awal 2026.
Adly berkata, Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang dilaksanakan adalah skim peningkatan gaji dan bukan melibatkan pencen.
Namun katanya, peningkatan gaji tersebut menjadi asas kepada penyelarasan pencen anggota veteran.
“Prosesnya bermula dengan penyelarasan gaji, diikuti pelarasan pencen yang turut memberi manfaat kepada veteran, termasuk sumbangan pencen pada Januari tahun ini dan tahun hadapan.
“Penyelarasan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kementerian bagi memastikan kebajikan veteran sentiasa terpelihara, termasuk mereka yang tidak berpencen,” katanya.
Beliau berkata, bagi pesara ATM yang tidak menerima pencen, mereka menikmati bantuan sara hidup RM500 sebulan atas dasar ihsan kerajaan.
“Keputusan itu dibuat bagi meringankan beban mereka walaupun mengikut peraturan mereka hanya layak menerima simpanan di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Tanggungjawab kementerian bukan hanya terikat dengan isu perundangan, tetapi juga meliputi kebajikan semua anggota,” katanya. – UTUSAN










