PARLIMEN: Kerjasama Malaysia-Indonesia di Laut Sulawesi peringkat pertimbangan awal

PARLIMEN: Kerjasama Malaysia-Indonesia di Laut Sulawesi peringkat pertimbangan awal

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi sehingga kini masih belum dimuktamadkan lagi kerana kedua-dua negara masih meneroka kebarangkalian kerjasama tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada isu berhubung kebarangkalian cadangan pembangunan bersama itu kerana ia masih belum dimulakan lagi.

“Kenyataan bersama antara Perdana Menteri dan Presiden Indonesia pada 27 Jun berhubung dengan cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi adalah merujuk kepada perkara yang masih lagi di peringkat pertimbangan awal, atau dengan izin, ‘exploratory’. 

“Kedua-dua pihak masih meneroka kebarangkalian kerjasama terbabit dan sememangnya ia belum lagi dimuktamadkan. 

“Maka, tiada isu berhubung kebarangkalian cadangan pembangunan bersama ini memandangkan perkara ini belum dimulakan,” katanya semasa sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat, hari ini. 

Pada masa sama, Mohamad berkata, perkara itu turut dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Julai lalu di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian kerajaan Sabah dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia, sentiasa terpelihara. 

Beliau berkata, perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang taruh yang berkaitan dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia.

Katanya, usaha itu dilakukan dengan pendekatan seluruh kerajaan dan penuh komitmen dalam melaksanakan rundingan dengan negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui dua pihak.

“Ini termasuklah kerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan itu. Wakil kerajaan Sabah turut dibabitkan di dalam mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara Malaysia dan Indonesia. 

“Kerajaan terus komited untuk memperhalusi dan mencari kesepakatan mengenai perkara ini melalui mekanisme rundingan sedia ada dan memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara termasuklah kepentingan negeri Sabah akan sentiasa dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN