Festival Budaya Malindo erat perpaduan di sebalik isu Laut Sulawesi

Festival Budaya Malindo erat perpaduan di sebalik isu Laut Sulawesi

NIZAM Abu Bakar memukul gong bagi merasmikan Festival Budaya Malindo di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah-UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Di sebalik isu pertikaian sempadan maritim Laut Sulawesi, hubungan Malaysia dan Indonesia kekal utuh malah terus diperkukuhkan melalui pentas kebudayaan.

Festival Budaya Malindo yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau semalam membuktikan bahawa seni dan budaya masih menjadi jambatan paling kukuh dalam merapatkan hubungan dua negara serumpun ini.

Acara itu menghimpunkan pelbagai elemen budaya dari Sabah dan Kalimantan, hasil kerjasama tiga pihak iaitu Permata Tijara, Dharma Wanita Persatuan Republik Indonesia Tawau, dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMP).

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan festival berkenaan sebagai simbol kesatuan rakyat dua negara yang berkongsi akar budaya dan sejarah yang sama.

“Saya melihat program ini selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkasakan kecintaan terhadap budaya bangsa yang berbilang di Sabah.

“Di samping itu, ia menjadi medium yang sangat berkesan untuk mengeratkan hubungan serumpun antara Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan festival berkenaan.

Mengulas tentang kaitan antara program kebudayaan dan isu-isu politik seperti pertikaian Laut Sulawei, Nizam menegaskan, seharusnya isu tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan baik yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Saya melihat isu Laut Sulawesi tidak sampai ke tahap yang boleh memecah belahkan hubungan dua negara. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, hubungan kita dengan Indonesia berasaskan semangat persaudaraan, perdagangan dan budaya.

“Segala isu kedaulatan akan diuruskan dengan baik oleh pimpinan tertinggi kedua-dua negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas.

Sementara itu, Konsul Republik Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo turut memuji usaha penganjuran festival yang didorong oleh inisiatif masyarakat dan bukan hanya oleh kerajaan.

“Ini satu bentuk kerjasama yang sangat bagus. Ia menunjukkan bagaimana masyarakat dari dua negara boleh saling mendekatkan diri melalui budaya, di luar kerangka politik dan isu sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN