KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengekalkan istilah Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi walaupun Indonesia merujuknya sebagai kawasan Ambang Batas Laut atau ‘Ambalat’.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, isu menggantikan nama lebih signifikan bagi merujuk kawasan dalam Laut Sulawesi itu belum lagi dibincangkan dan istilah sama akan dikekalkan buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia akan menggunakan platform rundingan melalui mesyuarat teknikal persempadan maritim bagi merungkai isu di Laut Sulawesi itu dengan menggunakan pendekatan sebagai sahabat dan bukannya secara emosi.
“Pada tahun ini kita adakan lima mesyuarat dan ia akan digunakan sebaik mungkin untuk merungkai, berbincang secara sahabat dan tidak secara emosi, tapi kita juga mementingkan soal hal kedaulatan Malaysia, selain hak dan kepentingan Sabah terus dipelihara.
“Soal memberikan nama baharu itu belum ada lagi dalam perbincangan kita, tetapi kita kekalkan istilah atau terma yang kita gunakan pada hari ini,” katanya dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN – Beluran) sama ada Malaysia mempunyai cadangan untuk memberikan nama signifikan selain ND6 dan ND7, bagi merujuk Laut Sulawesi.
Mohamad berkata, ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada 27 Jun lalu, kedua-dua pemimpin mengeluarkan kenyataan bersama berhubung dengan cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi.
Beliau berkata, cadangan bersama itu merujuk kepada perkara yang masih lagi di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama berkenaan dan sememangnya belum lagi dimuktamadkan.
“Ini adalah usaha awal pemimpin mencuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi dua negara. Cadangan bersama yang dicadangkan Malaysia dan Indonesia sebelum ini juga bukan merupakan intipati Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023.
“Ia memandangkan triti berkenaan hanya membabitkan sebahagian daripada zon laut wilayah di kawasan Laut Sulawesi dan tidak membabitkan Blok ND6 dan Blok ND7 yang terletak di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif atau Pelantar Benua,” katanya.
Beliau berkata, bagi setiap rundingan yang dibuat bersama Indonesia, negara akan memastikan ia sentiasa mementingkan hak dan kedaulatan Malaysia serta pihak berkepentingan terbesar iaitu Sabah.
Mohamad berkata, pemimpin Sabah dan Sarawak bersetuju meneruskan rundingan menggunakan mekanisme sedia ada dalam isu kerjasama membangunkan bersama potensi Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia.
“Pada 28 dan 29 Julai lalu, melalui mesyuarat rundingan yang turut menjemput ketua menteri Sabah dan Premier Sarawak disentuh mengenai Laut Sulawesi secara umum dan kedua-dua pemimpin bersetuju meminta dua pihak iaitu Malaysia dan Indonesia meneruskan rundingan,” katanya. – UTUSAN










