KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Sabah dalam sebarang rundingan dan perbincangan berkaitan isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia khususnya membabitkan kawasan Laut Sulawesi.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pandangan serta kepentingan Kerajaan Negeri Sabah sentiasa diambil kira dalam setiap proses membuat keputusan selaras dengan usaha mempertahankan kedaulatan dan hak Malaysia.
Katanya, wakil kerajaan Sabah turut terlibat secara langsung dalam mesyuarat serta rundingan teknikal berhubung persempadanan maritim dengan Indonesia.
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar sentiasa bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh dalam isu persempadanan maritim termasuk kerajaan Sabah.
“Pendekatan secara menyeluruh berasaskan prinsip ‘whole of government’ telah digunakan dalam setiap rundingan bersama negara jiran, bagi mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN–Kinabatangan) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang melibatkan kerajaan negeri Sabah dalam rundingan isu perairan itu bagi memastikan kepentingan negeri dipelihara dan rakyat Sabah tidak ketinggalan daripada menikmati peluang ekonomi.
Mohamad berkata, istilah ‘Ambalat’ merupakan istilah yang digunakan oleh Indonesia dan merujuk kepada kawasan yang sebahagiannya meliputi Laut Sulawesi termasuk Blok ND6 dan ND7.
Sebaliknya, Malaysia berpandangan kawasan tersebut adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan dan hak kedaulatan negara, berdasarkan undang-undang antarabangsa serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002.
“Justeru, penggunaan istilah yang lebih tepat selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi dan bukannya Ambalat.
“Sebarang cadangan penyelesaian termasuk kerjasama ekonomi dengan Indonesia akan dipertimbang secara teliti demi kepentingan bersama,” katanya. – UTUSAN










