KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan menyaksikan persaingan sengit antara bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman yang mewakili Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).
Selain itu, ia dilihat persaingan antara Anifah yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Kimanis sebelum bertindak keluar parti pada 2018 manakala Mohamad pula merupakan kini mengetuai bahagian UMNO itu.
Meskipun tumpuan DUN Bongawan perlu melihat kepada sembilan calon lain termasuk penyandangnya sendiri, Dr. Daud Yusof daripada Parti Warisan (Warisan) namun pertembungan Anifah dan Mohamad dilihat buku bertemu ruas.
Kedua-dua memiliki kelebihan di Bongawan apabila Anifah yang merupakan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) pernah bertanding di kawasan itu PRN 2020, namun tewas di samping beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kimanis.
Begitu juga Mohamad yang kini merupakan Ahli Parlimen Kimanis di samping pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan pada PRN 2013, namun kalah kepada Warisan ketika pilihan raya berlangsung pada 2018.
Anifah membawa kelebihan dari segi pengalaman politik manakala Mohamad pula hadir sebagai calon yang berada dalam kerajaan Pusat dan memperoleh kelebihan sebagai Timbalan Menteri Luar.
Namun dalam soal ini, Daud bersama enam calon lain seperti Perikatan Nasional (PN) dan Parti Solidariti Tanah Airku menantikan percaturan ini apabila pecahan undi Melayu antara Anifah dan Mohamad boleh membuka pintu kemenangan kepada Warisan atau parti lain, bergantung momentum kempen dan isu setempat yang dibawa.
Kehadiran ramai calon dijangka memecahkan undi, sekali gus membuka ruang kepada kemenangan berdasarkan kekuatan asas sokongan teras setiap parti.
Secara taktikal, undi tradisi Kimanis bakal menjadi faktor penentu. Sama ada pengundi akar umbi UMNO berpihak kepada Mohamad sepenuhnya atau sebahagiannya masih setia kepada Anifah akan menentukan hala tuju undi Melayu tempatan. Pembahagian undi ini boleh dimanfaatkan parti lain jika undi teras berpecah.
Berdasarkan semua faktor tersebut, kedua-dua calon kuat, tetapi buat masa ini kelebihan cenderung berpihak kepada Mohamad dengan syarat gelombang undi UMNO dan penyokong kerajaan tidak berpecah secara besar-besaran. – UTUSAN










