PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan penuh berkait sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, perkara itu telah berada dalam perancangan mereka sejak dahulu lagi.
“Jadi kalau kami buat (permohonan baharu) pengampunan (penuh) sekarang, kami juga tidak mahu isu-isu berkenaan dengan Titah Adendum ini atau pengampunan (penuh) ini mempunyai kesan atau kaitan antara satu dengan lain.
“Namun, perkara itu sememangnya sentiasa dalam perkiraan pihak kami,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding keputusan rayuan terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Selain itu, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk membuat permohonan penzahiran dokumen bagi menuntut lokasi Titah Adendum itu didedahkan segera serta penjelasan berhubung kelewatan melaksanakan perintah tambahan itu melebihi setahun.
“Kami juga boleh mengeluarkan sapina kepada saksi-saksi penting sama ada secara akademik atau fizikal.
“Dalam kes ini, sebagai contoh, kami boleh memanggil sendiri Tan Sri Ahmad Terrirudin (bekas Peguam Negara dan kini Hakim Mahkamah Rayuan) untuk mengetahui sama ada beliau menerima dokumen itu atau tidak.
“Kami juga boleh memanggil pegawai-pegawai kerajaan atau tokoh tertentu untuk memastikan kes ini dibawa mengikut prosedur yang betul. Kami akan lakukan pembuktian fakta sepanjang perbicaraan semakan kehakiman nanti,” katanya.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Peguam Negara untuk berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman berkait Titah Adendum itu.
Dengan keputusan mahkamah tertinggi itu, prosiding semakan berkenaan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. – UTUSAN










