GEORGE TOWN: Kerajaan diharap dapat memberi tumpuan terhadap kelangsungan hidup komuniti nelayan dengan mengekalkan subsidi minyak, menyediakan perumahan lebih baik dan menaik taraf infrastruktur perikanan dalam Belanjawan 2026.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, penting untuk kerajaan mengekalkan insentif kos operasi khususnya subsidi minyak yang menjadi nadi kehidupan utama ramai nelayan.
“Kami memohon supaya semua insentif kos operasi terutamanya subsidi minyak dikekalkan dalam Belanjawan 2026. Ini sangat penting untuk memastikan kelangsungan hidup para nelayan.
“Selain itu, terdapat juga keperluan yang semakin mendesak bagi meningkatkan kemudahan perumahan komuniti nelayan dengan hampir 40 peratus daripada mereka kini tinggal di rumah yang sempit dan tidak selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada nelayan sempena Program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi bantuan peralatan menangkap ikan kepada 230 nelayan dari empat persatuan nelayan kawasan di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, LKIM telah mengenal pasti lebih 10 kompleks pendaratan ikan yang perlu dibaiki namun jumlah sebenarnya dijangka lebih banyak.
Setakat ini, katanya, kompleks pendaratan ikan di Chendering, Kemaman dan Dungun, di Terengganu sudah dikenal pasti serta sedang menjalani kerja-kerja pembaikan.
Katanya lagi, kawasan lain yang memerlukan perhatian segera termasuklah Kota Tinggi dan beberapa lokasi di Lumut.
“Kami memohon supaya kajian lebih mendalam dan peruntukan sewajarnya diberikan bagi menangani isu ini. Jumlah kos keseluruhan bagi pembaikan dan naik taraf ini masih dalam proses penilaian.
“LKIM tetap berharap Belanjawan 2026 akan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh sektor perikanan, meningkatkan kebajikan nelayan dan menjamin kelestarian ekonomi maritim negara,” katanya. – UTUSAN








