Suri rumah didenda RM4,000 sebar maklumat palsu isu subsidi minyak

Suri rumah didenda RM4,000 sebar maklumat palsu isu subsidi minyak

ROMY Irwan Shah Amri Irawan djatuhkan hukuman denda terhadap seorang individu atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya di Mahkamah Sesyen, Sepang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang suri rumah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi laman Facebook miliknya berhubung isu subsidi minyak.

Tertuduh, Chong Kwai Fee, 55 membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang secara sedar didakwa membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi aplikasi Facebook menggunakan akaun miliknya pada 10 pagi, 13 April lalu.

Hantaran yang mengandungi maklumat palsu tersebut mendakwa kerajaan memperoleh keuntungan sehingga RM3 bilion daripada penjualan minyak, namun pada masa sama mengurangkan subsidi rakyat, selain mendakwa Malaysia berisiko menjadi seperti Venezuela.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nazhzailah Mohd. Hashim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam yang perlu mengatasi kepentingan individu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad berkata, setiap individu bebas memberikan pandangan dan komen menerusi pelbagai platform media sosial berdasarkan tahap pendidikan, pemikiran dan minat masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, isu berkaitan subsidi minyak merupakan perkara yang dekat di hati rakyat dan penyebaran maklumat yang tidak benar berhubung perkara tersebut boleh mengelirukan masyarakat.

“Walaupun komen tertuduh tidak melibatkan isu 3R, ia tetap mengandungi maklumat yang tidak benar. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial,” katanya.

Sementara itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda terhadap seorang individu atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya di bawah akta sama berhubung harga minyak dan kenaikan tarif elektrik.

Romy Irwan Shah Amri Irawan, 64 turut didenda RM4,000 terhadap pertuduhan yang dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN