Subsidi minyak kekal, tiada usaha mansuhkan - Salahuddin - Utusan Malaysia

Subsidi minyak kekal, tiada usaha mansuhkan – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB melekapkan tapak tangan pada skrin sebagai gimik pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Kerajaan menafikan terdapat usaha bagi memansuhkan subsidi minyak petrol dan diesel pada pembentangan Belanjawan 2023 pada bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan masih tetap dengan pendirian untuk mengekalkan pelaksanaan subsidi berkenaan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, pemberian subsidi berkenaan akan diteruskan sehingga kerajaan membuat suatu keputusan, iaitu kemungkinan melaksanakan subsidi secara bersasar.

“Kita menerima apa sahaja pandangan bebas (pakar ekonomi) mengenai isu itu. Setakat saya hadir mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, tiada sebarang perubahan diperbincangkan.

“Kita masih lagi mengekalkan subsidi petrol dan apa yang ada pada hari ini sehingga kerajaan membuat satu keputusan yang mungkin kita melaksanakan subsidi secara bersasar. Itu (perubahan keputusan) kena tanya dengan Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan,” katanya selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.

Semalam, akhbar melaporkan pakar ekonomi menjangkakan kerajaan akan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak petrol dan diesel dalam pembentangan belanjawan pada 24 Februari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, inisiatif ReDI ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan terhadap wang tunai, malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga aspek, iaitu mudah, cepat dan selamat.

KPDN juga merancang untuk melaksanakan lima program ReDI di lokasi tumpuan ramai seperti di Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Di Johor, pelaksanaan ReDI dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Bank Negara Malaysia (BNM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Iskandar Puteri (MBIP) dan rakan strategik penyedia e-wallet. Program ini juga sebagai salah satu mekanisme ekonomi digital bagi meminimumkan isu penglibatan orang tengah dan kartel.

“Dengan adanya ekonomi digital ini, pengguna akan dapat akses langsung produk yang dikeluarkan dari kilang. Walaupun saya faham dan dimaklumkan bahawa ia akan mengambil masa, kementerian terus melangkah dalam usaha kita memerangi isu orang tengah dan kartel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya