JASIN: Lebih 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong di Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai di sini mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera berhubung masalah air surut yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Abu Hasan Othman berkata, masalah itu menyebabkan sampan dan bot tidak dapat keluar kerana muara dipenuhi lumpur ekoran kerosakan sistem pintu air.
“Apabila air surut, ada kalanya langsung tiada air hingga bot nelayan tidak dapat bergerak. Untuk keluar, kami terpaksa menunggu air pasang, itu pun amat menyukarkan.
“Lebih 40 bot nelayan berdaftar termasuk bot penumpang ke Pulau Besar yang menjalankan aktiviti memancing serta menjaring kini terjejas teruk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Abu Hasan berkata, aduan telah dibuat melalui pelbagai saluran termasuk kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak lebih setahun lalu, namun masih tiada tindakan konkrit.
“Kali terakhir mendalamkan muara, ia boleh digunakan hampir dua tahun, tetapi kali ini tidak sampai setahun sudah bermasalah semula. Aduan terakhir kami buat tiga bulan lalu, namun tiada penyelesaian.
“Kami harap pihak berwajib segera mencari jalan kerana ia melibatkan mata pencarian nelayan,” katanya.
Sementara itu, pengusaha bot pelancong, Shah Nizam Ali, 45, berkata, beliau turut berdepan kesukaran membawa pelancong dan kaki pancing keluar masuk ke beberapa pulau sekitar.
“Bot kami bukan sahaja bawa pelancong ke beberapa pulau sekitar tetapi juga kaki-kaki pancing. Keadaan sekarang amat menyulitkan kerana kami perlu menunggu masa tertentu, menyebabkan jadual terganggu,” katanya.
Nelayan, Mohd. Anuar Musa, 40, pula berkata, keadaan semakin kritikal apabila air langsung tiada ketika surut sehingga melumpuhkan aktiviti nelayan di situ. – UTUSAN










