PETALING JAYA: Kerajaan disaran melaksanakan pemotongan khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada individu yang didapati melakukan pengabaian terhadap waris terutama ibu bapa mereka.
Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (Pakar), Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, ia bagi memastikan golongan tersebut mempunyai sumber kewangan meneruskan kehidupan dan tanggungan keperluan harian di pusat jagaan orang tua.
Katanya, langkah tersebut penting selaras jangkaan Malaysia yang menuju negara tua menjelang tahun 2030.
“Apa yang membimbangkan, masalah warga emas dipinggir dan diabaikan oleh darah daging sendiri semakin banyak berlaku dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pelbagai pihak.
“Pelaksanaan ini secara tidak langsung menjadi langkah baharu dalam memastikan rawatan dan penjagaan warga emas yang terabai dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq berkata, anak-anak perlu dididIk di peringkat persekolahan dengan mewujudkan silibus khusus berkaitan tanggungjawab kepada ibu bapa dan pengurusan berkesan penjagaan warga emas yang sakit.
“Ini antara perkara paling asas berhubung pendidikan kerana kesedaran menjaga orang tua ini masih kurang. Sedangkan kita menuju ke arah negara tua pada tahun 2030,” katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat pusat jagaan orang tua yang menerima 50 permohonan untuk letak warga emas namun tidak mampu ekoran kekangan kewangan. – UTUSAN










