HULU LANGAT: Malaysia mampu menarik lebih banyak pelabur asing dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) ke negara ini dengan keupayaan membekalkan sumber air dan tenaga mencukupi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,selain itu keupayaan dalam menyediakan sumber tenaga dan air menerusi teknologi canggih serta moden antara faktor yang turut menjadi keutamaan pelabur asing.
“Antara faktor Malaysia jadi tarikan pelabur, dengan (pelaburan membangun) pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baru termasuk semikonduktor ini ialah kemudahan air dan tenaga.
“Ini kemudahan sangat strategik kerana ia yang menyebabkan kalau mereka (mahu melabur, yang ditanya ialah) air dan tenaga. Bagi kita, soal air dan tenaga bukan saja dapat disediakan, tapi dikawal dengan harga munasabah,” katanya pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa.
LRA Langat 2 dibina bagi menampung permintaan tinggi bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan pertambahan jumlah penduduk dan pembangunan industri yang pesat.
Infrastruktur air yang dibangunkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) ini memiliki kapasiti berjumlah 1,130 juta liter sehari (JLH) melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau menerusi Muka Sauk Sungai Semantan di Negeri Pahang ke LRA Langat 2 di Daerah Hulu Langat.
Pemindahan air mentah tersebut disalurkan melalui terowong bergaris pusat 5.2 meter dan 44.6 kilometer (km) panjang merentasi Banjaran Titiwangsa.
Jajaran paip penyaluran air terawat menghubungkan dua koridor utama iaitu Koridor Utara sehingga ke kawasan Ampang dan AU3 Keramat serta Koridor Barat merentasi Hulu Langat, Cheras dan Sungai Besi sehingga ke Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara dan Bukit Dengkil.
Menyentuh mengenai LRA 2, Anwar berkata, projek tersebut disifatkan sebagai sebuah kejayaan hasil usaha syarikat dan kepakaran tempatan.
“Tidak mungkin projek ini dapat dijayakan melainkan ada golongan profesional yang terlatih dan kita sudah buktikan ini permulaan yang sangat membanggakan.
“Saya hadir hari ini untuk memberi sokongan dan penghargaan kerana kita tahu ini projek raksasa yang menuntut usaha kerja bersungguh-sungguh dan teknologi canggih,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, industri air negara masih berdepan cabaran termasuk dalam soal pembaziran ke atas penggunaannya selain isu Program Air Tidak Terhasil (NRW) yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
“Masih lagi kita hadapi cabaran keperluan air di negara kita yang terkait dengan pembaziran, cara penggunaannya dan kelemahan kerana sistem saluran lama menyebabkan pembaziran NRW hingga jadi masalah besar,” katanya. – UTUSAN










