ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mengalu-alukan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi terbesar negara menjelang tahun 2030 sekali gus mengambil alih peranan Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri optimis dengan langkah tersebut yang dilihat memberi peluang kepada Kedah untuk menerajui sektor lain termasuk perindustrian.
“Tidak perlu ganti pun, kita minta diperluaskan lagi (sektor penanaman padi) di Sarawak supaya tanah di Kedah ini kita boleh bangunkan dengan benda lain. Kita pun alu-alukan langkah itu.
“Kalau Sarawak boleh ganti Kedah, boleh hasilkan lebih keperluan (bekalan beras) kita. Kita boleh bangunkan benda lain. Kita pun seronok juga. Bendang ini penghasilan padi, tanah yang tak ekonomi.
“Kalau kita buat industri, perniagaan, ia akan datang dengan cukai yang lebih baik kepada negeri. Saya harap Sarawak berjaya ganti Kedah. Saya sangat positif dengan langkah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri Kedah di Taman Jubli Emas di sini hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai usaha kerajaan menjadikan Sarawak negeri jelapang padi terbesar sebagai usaha memperkukuhkan bekalan beras.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, langkah tersebut juga tidak dilihat sebagai satu ancaman kepada sektor pertanian padi negeri ini.
“Saya ucap selamat maju jaya kepada Sarawak. Tak perlu (bersaing) kita sepatutnya saling melengkapkan. Kita punya penghasilan padi dalam negara pun baru 60 peratus dan lebih itu kita terpaksa import.
“Kalau Sarawak boleh meningkatkan pengeluaran padi, kita tak payah import lagi dah. Bolehlah kita guna tanah, kita buat benda lain. Saya suka dan sangat menggembirakan kalau berita itu terjadi,” katanya. – UTUSAN










