Kedah harap diberi kelonggaran keluar benih padi sendiri

Kedah harap diberi kelonggaran keluar benih padi sendiri

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diharap memberi pertimbangan untuk membenarkan Kedah mengeluarkan benih padi sendiri untuk disemai di sawah seluruh negeri selaras dengan status Jelapang Padi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebagai pengeluar padi utama negara, pesawah di Kedah terus berdepan isu berpanjangan berkaitan bekalan benih padi yang hampir mencetuskan krisis kepada golongan itu.

Katanya, antara isu yang sering berulang termasuklah benih tidak mencukupi, benih tidak tumbuh, kehabisan stok subsidi sehingga terpaksa membeli pada harga pasaran yang tinggi sehingga menambah bebanan kepada pesawah.

“Jadi alangkah baik kita diberi sedikit kelonggaran untuk menggunakan benih padi sendiri yang sesuai dengan tanah, cuaca serta budaya pesawah di Kedah kerana semua itu akan menjadi faktor kepada hasil yang akan dikeluarkan nanti. 

“Perkara ini dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang harap dapat diambil perhatian walaupun ia bukan berada di petak kerajaan negeri tetapi oleh kerana kita ada kepentingan dalam sektor itu, maka kita ambil kesempatan untuk dibahaskan agar diberi perhatian pihak berwajib,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau mengulas usul Pelaksanaan Program Pembiakbakaan Tanaman Padi oleh Komuniti yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 setelah dibawa ADUN Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri kini sedang melakukan projek rintis penyemaian benih padi di tapak seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang.

Katanya, projek itu masih dalam tempoh kajian sebelum hasilnya dikemukakan kepada KPKM kelak untuk diberi pertimbangan agar Kedah boleh mengeluarkan benih padi sendiri.

“Diharapkan benih yang kita hasilkan dapat menampung kekurangan bekalan dan memberi hasil yang lebih baik, projek rintis kita bukan nak cabar sesiapa tapi kita nak menampung apa yang kurang dalam sistem sedia ada.

“Kita juga perlu iktiraf kebijaksanaan dan pengalaman tempatan yang puluhan tahun bergelumang dengan sawah padi tapi bila kononnya diuruskan secara profesional oleh agensi tiba-tiba kita hadapi masalah ketiadaan benih, varieti tak tahan penyakit yang beri kesan besar kepada pesawah dan hasil padi di Kedah,” ujarnya.

Bagaimanapun Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tetap perlu mendapat persetujuan KPKM dan pihak terlibat sekiranya mahu menggunakan benih padi sendiri kerana menghormati peraturan dan tatakelola yang sedia tersusun.

“Cuma yang merisaukan adalah berkaitan larangan guna benih tempatan oleh kerana kita meterai perjanjian di peringkat antarabangsa, maka semua benih dan racun dipaten dan tak boleh hasilkan sendiri yang saya rasa itu telah menyekat kebebasan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN