BALING: Kerajaan Pusat bersetuju memberi kelonggaran kepada Kedah untuk mengurangkan kawasan sawah padi bagi tujuan pembangunan lain, seiring dengan tuntutan semasa tanpa menjejaskan peranannya sebagai Jelapang Padi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan Kabinet dan hasil rundingan bersama kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika lawatan ke Kedah, baru-baru ini.
“Apabila bincang dengan kerajaan negeri, mereka akui kita perlu kekal sebagai Jelapang Padi, namun ada keperluan mengembangkan kawasan seperti Alor Setar untuk pembangunan industri, perumahan dan komersial.
“Maka Jemaah Menteri bersetuju agar sedikit kawasan sawah dapat ditukar bagi memenuhi tuntutan pembangunan,” katanya pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling (MDB) di sini, semalam.
Menurutnya, kaedah perundingan dengan kerajaan negeri akan diamalkan supaya keperluan tempatan diimbangi dengan agenda nasional, termasuk pelaksanaan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Memang Kerajaan Persekutuan ada keutamaan, tetapi pandangan negeri juga mesti diambil kira. Dalam Belanjawan 2026, kita mahu projek baharu disusun mengikut keperluan bersama. Itu lebih baik berbanding hanya satu pihak tentukan,” katanya.
Anwar turut menyentuh berkenaan peningkatan ketara peruntukan pembangunan untuk Kedah, daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion pada 2025 dengan pemberian khas juga naik daripada RM451 juta kepada RM540 juta dalam tempoh sama manakala Perbelanjaan Pembangunan Negeri meningkat daripada RM1.48 bilion pada 2021 kepada RM2.24 bilion pada 2025.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi negara kini sedang menuju ke arah sebuah negeri perindustrian menerusi pengembangan kawasan industri sedia ada di Kulim Hi-Tech Park dan Padang Meiha, Kulim.
Katanya, langkah tersebut akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan hidup rakyat dengan lebih pesat.
Katanya, kerajaan negeri amat menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Kedah.
“Antaranya oleh NCER melalui Pembangunan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, Pembinaan Laluan Jalan Raya bagi menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao, Thailand.
“Inisiatif pembangunan mampan di bawah kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah formula terbaik bagi memastikan Kedah dapat turut menyumbang dengan lebih baik dalam pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










