Kerajaan benarkan Jelapang Padi Kedah dikurangkan

Kerajaan benarkan Jelapang Padi Kedah dikurangkan

ANWAR Ibrahim tiba di Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Kompleks Sukan MDB, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kelonggaran kepada Kedah untuk mengurangkan kawasan sawah padi bagi tujuan pembangunan lain, seiring dengan tuntutan semasa tanpa menjejaskan peranannya sebagai Jelapang Padi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan Kabinet dan hasil rundingan bersama kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika lawatan ke Kedah, baru-baru ini.

“Bila bincang dengan kerajaan negeri, mereka akui kita perlu kekal sebagai Jelapang Padi, namun ada keperluan mengembangkan kawasan seperti Alor Setar untuk pembangunan industri, perumahan dan komersial.

“Maka Jemaah Menteri bersetuju agar sedikit kawasan sawah dapat ditukar bagi memenuhi tuntutan pembangunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling (MDB) di sini, hari ini.

Anwar berkata, kaedah perundingan dengan kerajaan negeri akan diamalkan supaya keperluan tempatan diimbangi dengan agenda nasional, termasuk pelaksanaan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Memang Kerajaan Persekutuan ada keutamaan, tetapi pandangan negeri juga mesti diambil kira. Dalam Belanjawan 2026, kita mahu projek baharu disusun mengikut keperluan bersama. Itu lebih baik berbanding hanya satu pihak tentukan,” katanya.

Anwar turut menyentuh berkenaan peningkatan ketara peruntukan pembangunan untuk Kedah, daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion pada 2025 dengan pemberian khas juga naik daripada RM451 juta kepada RM540 juta dalam tempoh sama manakala Perbelanjaan Pembangunan Negeri meningkat daripada RM1.48 bilion pada 2021 kepada RM2.24 bilion pada 2025.

“Ada orang kata tambah peruntukan sebab saya berkenan dengan orang Kedah, tidak. Sebab makan laksa orang Kedah, tidak. Sebab kuih Baling sedap, pun tidak tapi sebab keperluan seperti tebatan banjir, kita perlu hasil tanaman padi Kedah tapi tak mahu baiki sistem tali air, tak boleh begitu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN