PETALING JAYA: Keseluruhan ekosistem padi negara bermula daripada peringkat penanaman benih sehingga penghasilan beras perlu distruktur semula.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, masalah sebenar bukan terletak pada jumlah bantuan semata-mata, tetapi sistem agihan keuntungan dalam rantaian industri padi yang tidak adil kepada pesawah.
“Daripada RM2.62 bilion yang diperuntukkan (Belanjawan 2026 untuk pesawah), bukan semuanya sampai terus kepada pesawah. Hanya sekitar 30 peratus sahaja disalurkan dalam bentuk input pertanian manakala selebihnya pergi kepada vendor seperti syarikat baja, racun dan benih.
“Naratif itu perlu diubah kerana pesawah merupakan pihak paling bawah dalam rantaian makanan negara dan terpaksa menanggung pelbagai risiko seperti cuaca, banjir, kemarau, penyakit, kenaikan harga diesel serta kos input pertanian seperti baja dan racun.
“Banyak subsidi yang diumumkan kerajaan sebenarnya hanya menampung kos dan bukannya meningkatkan pendapatan bersih pesawah. Ini bermaksud perbelanjaan berbilion ringgit itu lebih banyak memberi manfaat kepada pihak tertentu seperti syarikat baja, benih dan racun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan nasib industri padi dalam tempoh sedekad berdepan kebimbangan susulan pelbagai isu melanda pesawah termasuk kenaikan berterusan kos tanaman, ketirisan industri padi serta ketiadaan pelapis yang bakal mewarisi pekerjaan itu.

Abdul Rashid dalam pada itu berkata, jika reformasi struktur dilakukan, langkah itu diyakini mampu menarik kembali minat golongan muda untuk menceburi sektor ini.
Ini kerana, katanya, data banci pertanian menunjukkan kurang daripada lima peratus individu berusia antara 15 hingga 30 tahun terlibat menjadi pesawah.
“Anak muda sebenarnya bukan tidak berminat terhadap pertanian tetapi mereka tidak melihat masa depan yang stabil dalam sektor itu kerana pesawah berdepan kerja yang penat, risiko tinggi dan pendapatan tidak menentu.
“Jika purata umur pesawah terus meningkat dan tiada pelapis, negara bakal menghadapi krisis pengeluaran makanan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Persoalan besar bukan sekadar tentang beras, tetapi siapa yang akan menanam padi untuk rakyat Malaysia pada masa depan? Jika sawah tidak lagi menjamin masa depan yang bermaruah, generasi muda akan meninggalkan sektor ini sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau berkata, golongan pesawah bukan menuntut untuk menjadi kaya tetapi hanya mahukan pulangan yang adil daripada titik peluh mereka dalam menjaga sekuriti makanan negara dan industri makanan ruji ini.
“Jika industri ini benar-benar ‘sihat’, mengapa ramai anak pesawah sendiri tidak mahu mewarisi pekerjaan ini? Mengapa semakin ramai pesawah terbeban dan mengapa umur pesawah semakin tua?
“Walaupun kerajaan mengumumkan bantuan berbilion ringgit, pesawah masih tidak mampu hidup bermaruah. Struktur industri itu sendiri jelas mempunyai masalah,” katanya. – UTUSAN










