JOHOR BAHRU: Satu jawatankuasa khas bakal ditubuhkan kerajaan negeri bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, usaha itu bertujuan membendung perlakuan tidak bermoral tersebut sekali gus memastikan kesejahteraan generasi muda negeri ini.
Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
“Pada 14 Ogos lalu, satu jawatankuasa kecil telah dibentuk selepas mendapat nasihat Isteri Pemangku Sultan Johor, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
“Manakala satu perbincangan khusus akan dibuat hari ini bagi membincangkan aktiviti dan kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan bersama oleh pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Kesihatan Negeri dan lain-lain.
“Tujuannya adalah untuk mendapatkan pandangan lengkap dan menyeluruh terhadap isu buli yang kini semakin berleluasa, selain bertujuan memberi sokongan terhadap kebajikan kanak-kanak negeri ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Khairin-Nisa, pihaknya memandang serius gejala buli yang semakin banyak dilaporkan khususnya melalui pelbagai platform media sosial, ketika ini.
“Jenayah buli akan merosakkan keyakinan diri selain meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa. Oleh itu kita perlu membina persekitaran yang selamat dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dan buli,” jelasnya.
Difahamkan, jawatankuasa khas tersebut akan menjadi platform penyelarasan bagi semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat, agensi keselamatan dan pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian berkesan.
Antara tumpuan utama termasuklah pemantauan berterusan, saluran aduan yang mudah diakses, kempen kesedaran di sekolah serta sokongan kaunseling kepada mangsa buli. – UTUSAN










