KUALA LUMPUR: Lebih 250,000 pelajar di bawah institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dilihat berisiko terjebak dalam gejala buli sama ada sebagai mangsa mahupun pelaku.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu membabitkan keseluruhan pelajar di pelbagai peringkat pengajian termasuk Kolej Kemahiran Mara di dalam dan luar negara.
Kata beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana kes buli dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelajar terbabit.
“Secara keseluruhan, pelajar di bawah ekosistem pendidikan Mara ini berjumlah sekitar 170,000 orang. Namun, jika dicampur dengan pelajar di bawah program Kolej Kemahiran termasuk dalam dan luar negara, jumlah keseluruhan mencecah 252,354 orang pelajar.
“Inilah sebenarnya kumpulan besar yang berpotensi sama ada menjadi pembuli atau menjadi mangsa buli. Kita mesti mengambil tanggungjawab bersama dalam membendung gejala ini.
“Kita mesti hentikan rantaian ganas ini. Kita tidak mahu lagi ada suara-suara yang mengatakan ‘tidak mengapa, buli sedikit-sedikit sahaja’.
“Saya lihat ada juga pandangan di media sosial yang menyebut bahawa dulu pun ada buli, tetapi akhirnya saling bermaafan. Bagi saya, itu bukan alasan,” katanya ketika berucap pada Sesi Town Hall Tribunal Antibuli #GenerasiTanpaBuli Peringkat Mara di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, tiada satu pun kes buli boleh diterima atau dihalalkan sama ada berbentuk fizikal, mental mahupun psikologi kerana ia berpotensi meninggalkan kesan besar terhadap emosi dan kesihatan mental pelajar.
Katanya, mesej Mara kepada pelajar juga jelas iaitu sesiapa sahaja yang terbukti terlibat dengan buli akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian meskipun mereka pelajar cemerlang.
Katanya, mesej selama ini jelas iaitu ‘You Touch, You Go’ yang bermaksud tiada pihak terlepas daripada dikenakan tindakan jika didapati terlibat kes buli.
“Saya ingin tegaskan bahawa kita bukan hanya bercakap soal pendidikan, intervensi awal, motivasi atau kaunseling, tetapi yang lebih penting ialah penguatkuasaan dan peraturan mesti diperkasakan.
“Jika kita benar-benar serius mahu menghentikan gejala buli, kita tidak boleh memberi ruang kepada mana-mana bentuk buli,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pengetua, pengarah dan pengurus institusi Mara agar tidak bertolak ansur dengan sebarang kes membabitkan pelajar.
Katanya, tindakan bukan sahaja dikenakan terhadap pelaku, malah pihak pengurusan institusi juga boleh dikenakan tindakan jika terbukti cuba melindungi kes buli. – UTUSAN










