PETALING JAYA: Gabungan teknologi canggih dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat menjadi kunci utama bagi mengatasi isu penyamaran nombor plat kenderaan dalam pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF).
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, pengalaman negara seperti Australia, Singapura dan New Zealand yang telah lama melaksanakan sistem sama membuktikan pemalsuan nombor plat merupakan cabaran utama dalam sistem tol terbuka.
“Di Australia, hukuman berat termasuk denda tinggi dan penarikan lesen dikenakan terhadap kesalahan memalsukan atau mengubah nombor plat.
“Singapura pula menggabungkan kamera Automatic Number Plate Recognition (ANPR) dengan pengimbas infra-merah dan laser bagi mengesan bentuk, saiz dan kedudukan plat, sekali gus membezakan antara yang asli dan disamarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia perlu menggunakan pendekatan pelbagai lapisan (multi-layer verification) supaya sistem MLFF tidak bergantung sepenuhnya kepada kamera ANPR.
Katanya, antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan tag Radio Frequency Identification (RFID), pemasangan pengimbas kenderaan bergerak di lebuh raya serta integrasi pangkalan data kenderaan dengan sistem insurans dan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Pendekatan ini membolehkan tol dikenakan walaupun nombor plat tidak jelas atau data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lengkap, di samping mengurangkan risiko kesilapan pengecaman,” katanya.
Tambah beliau, perlindungan terhadap pemilik kenderaan yang menjadi mangsa pemalsuan nombor plat juga perlu diberi perhatian.
“Antara mekanisme yang dicadangkan termasuk saluran aduan rasmi yang pantas, sistem semakan bukti bergambar atau video sebelum saman atau caj tol dikenakan, serta tempoh bantahan tanpa penalti bagi kes yang disahkan sebagai salah identiti.
“Ciri keselamatan tambahan pada nombor plat seperti kod QR mikro atau cap keselamatan (security watermark) juga boleh dipasang untuk membantu pihak berkuasa membezakan plat asal daripada tiruan,” katanya. – UTUSAN







