Naik taraf perkhidmatan LRT

Naik taraf perkhidmatan LRT

GANGGUAN perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya Selasa lalu menyebabkan tren terhenti tiba-tiba dan terpaksa dikendalikan secara manual. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian dan naik taraf berterusan perlu dilakukan terhadap perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) untuk memastikan keselamatan awam terjamin pada masa akan datang.

Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil berat masalah LRT yang seringkali berlaku kerana melibatkan keselamatan awam.

Menurutnya, Rapid Rail Sdn. Bhd. perlu menyelidik punca sebenar masalah yang berlaku dengan lebih mendalam selepas proses membaik pulih untuk mengelakkan isu sama berlaku lagi.

“Kajian dan naik taraf berkenaan masalah itu perlu terus dilakukan secara berterusan untuk memastikannya tidak berulang lagi, bukan hembus nafas lega selepas proses pembaikan selesai.

“Masalah sedia ada tidak mustahil untuk diselesaikan, justeru itu, kita perlu bentuk kumpulan pakar jurutera tempatan sendiri agar tidak terlalu tergantung kepada pakar luar negara sahaja setiap kali ada kerosakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, Malaysia mempunyai ramai pakar tetapi sampai hari ini tidak ada yang membentuk kumpulan pakar untuk menangani masalah LRT, seperti cara mengelakkan petir mengganggu Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES).

Selasa lalu, Rapid Rail Sdn. Bhd. mengesahkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan teknikal berpunca daripada PIES yang teraktif disyaki disambar petir di Stesen LRT Kerinchi.

Masalah melibatkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sudah beberapa kali berlaku tahun ini, malah pernah digantung perkhidmatan selama tujuh hari pada bulan lalu akibat Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil.

Dalam pada itu, Teik Hua berkata, walaupun tren LRT yang digunakan sudah lebih daripada 20 tahun, ia tidak boleh digunakan sebagai alasan kerana usia kebanyakan kapal terbang yang digunakan hari ini juga hampir sama umurnya malah ada yang lebih tua.

Dakwanya, tahap penyelenggaraan dan proses naik taraf sesuatu pengangkutan awam menjadi ukuran terhadap tahap keselamatan awam dan mutu perkhidmatannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN