PETALING JAYA: Deklarasi New York yang mencadangkan Hamas meletak senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada pihak Berkuasa Palestin (PA) disifatkan sebagai cubaan halus menghalalkan pendudukan haram Israel serta menafikan hak rakyat Palestin.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, prasyarat yang terkandung dalam deklarasi itu bercanggah dengan pendirian tegas serta dasar luar Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan Palestin berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, antara syarat utama Deklarasi New York ialah agar Hamas meletak senjata dan menyerah kuasa pentadbiran Gaza kepada PA.
“Deklarasi New York, walaupun kononnya bertujuan untuk mencapai keamanan, harus ditolak sekiranya ia mengandungi prasyarat yang secara halus mengabsahkan pendudukan haram Israel, menafikan hak rakyat Palestin, atau menormalisasi penindasan yang telah berlangsung selama lebih tujuh dekad.
“Sebarang bentuk penyelesaian tidak boleh berpaksikan kepada kepentingan kuasa besar atau kehendak rejim Zionis semata-mata, sebaliknya wajib mengambil kira hak asasi rakyat Palestin yang telah lama dinafikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel mestilah bersifat tuntas dan berasaskan keadilan mutlak.
“Ini termasuk komitmen dan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang antarabangsa, serta memastikan pertanggungjawaban atas setiap pelanggaran undang-undang tersebut, khususnya oleh Israel.
“Hak pulang para pelarian, hak untuk menentukan nasib sendiri sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan mesti dihormati.
“Selain itu, akses penuh dan tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan asas seperti makanan, ubat-ubatan, air bersih, bahan api dan perlindungan, sebagaimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, wajib dipastikan tanpa kompromi,” katanya.
Beliau berkata, desakan massa, politik dan diplomatik perlu diteruskan bagi menuntut gencatan senjata kekal di Gaza, menghentikan genosid oleh Israel serta membuka laluan bebas untuk bantuan kemanusiaan.
“Ia juga menuntut pertanggungjawaban jenayah perang serta menyokong tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
“Pendirian Malaysia wajib kekal konsisten berpihak kepada kebenaran, keadilan dan kemanusiaan. Tiada keamanan yang boleh dicapai tanpa keadilan, dan tiada keadilan tanpa kebebasan sebenar untuk rakyat Palestin,” katanya.
Syed Ibrahim menggesa Ahli Parlimen Malaysia serta rakan sejawat di rantau ini dan antarabangsa memperkasa usaha kolektif di pelbagai platform termasuk Parlimen ASEAN, Kesatuan Antara Parlimen (IPU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – UTUSAN








