DAPSY mula kempen tolak Akmal, Pemuda UMNO Pulau Pinang

DAPSY mula kempen tolak Akmal, Pemuda UMNO Pulau Pinang

CHONG Wei Hoong (duduk, tiga dari kanan) bersama pemimpin DAPSY Pulau Pinang menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Muhamad Akmal Saleh dalam sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang hari ini sebulat suara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan memutuskan untuk tidak menjalin sebarang hubungan dengan Pemuda UMNO Pulau Pinang, buat masa ini.

Ketua DAPSY negeri, Chong Wei Hoong berkata, Muhamad Akmal telah merosakkan konsep kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan apabila menyertai dan mengetuai Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas, petang semalam.

“Jadi, kami tidak boleh lagi berkompromi dengan beliau. Sebagai seorang ahli politik, Akmal harus bertanggungjawab. Setiap perkataan yang kita ucap, setiap tindakan yang kita ambil, boleh mempengaruhi orang lain.

“Kami telah keluarkan satu kenyataan sebelum ini bahawa Pemuda DAP Pulau Pinang tidak akan setuju dengan sebarang tindakan yang diambil oleh Akmal Saleh terutamanya seperti membuli peniaga kecil (dalam isu mengibar Jalur Gemilang secara terbalik).

“Jadi, kami putuskan untuk berkempen bagi ‘menolak’ Akmal Saleh kerana tindakan beliau (melakukan provokasi) boleh menggugat keamanan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin DAPSY yang lain di wisma DAP negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Wei Hong memberitahu, pihaknya juga mengambil keputusan untuk tidak lagi menjalin hubungan dengan Pemuda UMNO Pulau Pinang buat masa ini susulan insiden yang berlaku semalam.

“Selain mengingkari arahan polis (untuk tidak menyertai himpunan tersebut), mereka (Pemuda UMNO Pulau Pinang) juga bekerjasama dengan Pemuda (Armada) Bersatu dari PN (Perikatan Nasional).

“Ini kita tak boleh terima,” katanya yang memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Muhamad Akmal berhubung penganjuran himpunan di Kepala Batas itu dan berharap agar tindakan undang-undang diambil terhadap pemimpin itu kerana mengingkari arahan polis untuk terus mengadakan himpunan tersebut.

Sementara itu, Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, S. Liinesh yang turut serta dalam sidang akhbar itu menjelaskan, DAPSY hanya menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Muhamad Akmal dan Pemuda UMNO Pulau Pinang sahaja buat masa ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa kami tidak menolak UMNO. Kami cuma tak akan bekerjasama dengan Akmal dan Pemuda UMNO (khususnya di Pulau Pinang) sahaja,” katanya.

Terdahulu, DAPSY Pulau Pinang dalam satu kenyataan menggesa kepimpinan parti itu untuk memutuskan hubungan politik dengan Muhamad Akmal khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) susulan tindakan pemimpin itu yang didakwa mereka sebagai bersifat provokasi.

Muhamad Akmal dalam kenyataan balasnya bagaimanapun mendakwa tidak gentar dengan sebarang ugutan atau desakan daripada Pemuda DAP Pulau Pinang itu dan mencabar agar tindakan tersebut diambil oleh barisan kepimpinan DAP.

“‘Bring it on’ (silakan). Memutuskan hubungan politik dengan Pemuda UMNO bermakna putus hubungan politik dengan UMNO. Jadi, sila laksanakan. Kita tunggu,” katanya kepada Utusan Malaysia sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN