Pemuda UMNO tawar guaman percuma untuk peserta perhimpunan GARAH

Pemuda UMNO tawar guaman percuma untuk peserta perhimpunan GARAH

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda UMNO menawarkan perkhidmatan guaman percuma kepada individu yang ditahan ketika menyertai Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tawaran berkenaan berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Menurut beliau, tumpuan sepatutnya diberikan kepada pihak yang menceroboh tanah secara haram, bukannya terhadap peserta perhimpunan.

Akmal berkata, beberapa individu yang ditahan berkemungkinan akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan.

“Kami dimaklumkan bahawa beberapa orang rakyat Malaysia telah ditahan malam semalam ketika berlangsungnya perhimpunan aman di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun, hak itu juga seharusnya dipertahankan apabila mereka menerajui kerajaan hari ini, dan bukannya dengan menakut-nakutkan rakyat menggunakan kuasa yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dua aktivis, Zamri Vinoth dan Tamim Dahari Abdul Razak, direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung penganjuran GARAH yang dijadualkan berlangsung semalam.

Zamri yang merupakan penyelaras perhimpunan berkenaan bersama pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari, sebelum ini ditahan berhampiran Kompleks Beli-Belah Sogo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN