PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang amaran berhubung isu agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) seharusnya fokus untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN) di kedua-dua PRN berkenaan.
“Tidak perlu acah-acah nak bagi amaran. Lawan jelah, sembang apa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang meminta BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding serta melepaskan kerusi bagi PRN Melaka dan Johor.
Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keputusan berhubung agihan kerusi bergantung kepada pendirian UMNO dan BN dan ia selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengesahkan PRN Melaka akan diadakan tahun ini, manakala PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027, mengambil kira tempoh sidang DUN negeri yang bermula pada April 2022. – UTUSAN










