Peletakan jawatan Akmal perlu kelulusan Yang Dipertua Negeri

Peletakan jawatan Akmal perlu kelulusan Yang Dipertua Negeri

AB. Rauf Yusoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mempunyai hak untuk menolak atau menerima peletakan jawatan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri selepas berbincang dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, surat peletakan jawatan perlu mendapat kelulusan daripada Mohd. Ali kerana pelantikan ke jawatan itu sejak April 2023 adalah atas kelulusan Yang Dipertua Negeri.

“Setakat pukul 10 pagi ini saya belum menerima surat peletakan jawatan Muhamad Akmal.

“Boleh dijangka beliau akan menghantar surat peletakan jawatan sama ada hari ini, esok atau lusa, namun saya kena bawa usul ini kepada Yang Dipertua Negeri.

“Selepas menerima surat tersebut barulah saya akan berbincang dengan Mohd. Ali sama ada menerima atau tidak hasrat Muhamad Akmal. Setakat ini Yang Dipertua Negeri sedang bercuti,”
Katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Khamis lalu, Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ab. Rauf berkata, Muhamad Akmal perlu menjalankan tugasnya sehingga Yang Dipertua Negeri membuat keputusan.

Menjawab sama ada peletakan jawatan itu menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri, Ab. Rauf berkata, urusan kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak ditubuhkan sebagai kerajaan perpaduan yang perlu bergabung untuk membentuk kerajaan.

“Kita membentuk kerajaan negeri ekoran kemenangan lebih dua per tiga sewaktu pilihan raya negeri (PRN) yang lalu jadi ia sebagai satu semangat sokongan kepada usaha kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN