Aktiviti penyeludupan di Wang Kelian dikesan kembali aktif

Aktiviti penyeludupan di Wang Kelian dikesan kembali aktif

PAGAR kawat duri ini memisahkan antara sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Aktiviti penyeludupan dikesan kembali aktif di sempadan Wang Kelian, Perlis apabila wujudnya lorong-lorong tikus baharu yang dibuka secara haram oleh sindiket penyeludupan.

Keadaan fizikal sempadan yang hanya dipisahkan dengan kawat duri tanpa pagar konkrit menjadi antara faktor utama kegiatan itu berterusan, selain laluan berbukit serta hutan tebal yang menyukarkan kawalan.

Tinjauan bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim kelmarin, mendapati laluan berisiko itu sepanjang empat kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke kawasan sempadan sangat mencabar dengan struktur tanah curam dan sempit.

Tinjauan selama kira-kira empat jam itu turut disertai Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Unit Risikan Sempadan dan Cawangan Khas serta beberapa media tempatan.

Sepanjang laluan tersebut, pihak polis menemukan longgokan botol air termasuk yang dipercayai mengandungi air ketum serta buaian yang digantung di antara pokok, dipercayai digunakan oleh penyeludup sebagai tempat menunggu atau berehat sebelum melintas sempadan.

Ia dipercayai menjadi tempat penyeludup berhenti berehat ketika memikul muatan ketum naik dan turun di kawasan curam ke negara jiran.

Muhammad berkata, sindiket penyeludupan bijak mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pagar di kawasan berbukit dan terpencil tersebut untuk membuka laluan keluar masuk ke negara jiran.

Katanya, pemerhatian dilakukan sepanjang laluan berkenaan turut menemukan kesan pergerakan dan tinggalan makanan serta minuman yang menunjukkan aktiviti penyeludupan dijalankan dalam skala besar.

“Berdasarkan kesan ditemukan, kegiatan penyeludupan tersebut sudah lama berlaku dan kami turut mengesan kewujudan laluan baharu yang dibuka oleh sindiket. Berdasarkan rampasan ketum sebelum ini membabitkan jumlah besar iaitu ratusan kilogram,” katanya.

Sindiket dipercayai mengubah laluan secara berkala bergantung kepada tekanan dan kehadiran pasukan keselamatan menyebabkan operasi pemantauan kian mencabar.

Muhammad berkata, laluan di situ juga tidak kekal, apabila rondaan kerap dilakukan di satu-satu kawasan, penyeludup akan membuka laluan baharu di tempat lain.

Aktiviti penyeludupan menjadi lebih aktif apabila permintaan tinggi dari negara jiran dengan aktiviti penyeludupan aktif sekitar malam atau awal pagi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Muhammad berkata, penyeludup turut menggunakan laluan hutan yang sukar dimasuki kenderaan dan mustahil dipantau secara menyeluruh setiap masa.

Lebih membimbangkan, ak­tiviti penyeludupan juga dipercayai membabitkan penggunaan tenaga kerja ramai bagi memunggah barang ke kawasan sempadan.

“Mungkin wujud kerjasama daripada penduduk tempatan kerana desakan ekonomi.

“Ini bukan kerja seorang dua individu sebaliknya menggunakan tenaga yang ramai sebab dalam jumlah besar dan merentas kawasan berbukit,” katanya.

Polis juga percaya ada elemen sokongan daripada penduduk yang membantu aktiviti penyeludupan dan perkara itu sedang disiasat secara menyeluruh.

Muhammad berkata, pihak­nya juga memperkukuhkan kerjasama dengan PGA untuk meluaskan kawalan, meningkatkan rondaan taktikal serta membina pangkalan maklumat yang lebih kukuh.

“Kami juga sedang usahakan pemutihan kawasan panas dan mempertingkatkan perkongsian maklumat supaya tindakan yang diambil lebih pantas, menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau turut memohon kerajaan dan agensi bertanggungjawab memberi perhatian dengan membina halangan kekal seperti tembok atau pagar bagi mengekang aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

Ini berikutan situasi sekarang memberi cabaran kepada pengawal dan anggota di sempadan jika kawasan berkenaan terus dibiarkan terbuka.

“Kawasan berpagar digun­ting, apatah lagi kawasan terbuka yang memberi peluang lebih besar kepada aktiviti penyeludupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN