KUANTAN: UMNO perlu kembali kepada akar perjuangan dengan menjadikan muhasabah dan nilai perpaduan sebagai teras utama dalam usaha membangkitkan semula kekuatan parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kekalahan sebelum ini harus dijadikan pengajaran untuk UMNO kembali berpegang kepada prinsip asal yang menekankan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“UMNO kena kembali kepada akar perjuangannya, kembali kepada rakyat dan bermuhasabah. Apa yang berlaku sebelum ini harus jadi pedoman. Rakyat hakikatnya tahu pencapaian yang kita laksanakan semasa memerintah. Kita tidak pernah mendiskriminasi sesiapa. Kita bawa kestabilan dengan nilai toleransi dan saling menghormati sebagai asas negara bangsa,” katanya selepas Majis Perasmian Mesyuarat PewakilaN UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO hari ini tidak boleh terus terperangkap dengan sentimen perkauman sempit yang hanya memfokuskan kepada kelompok tertentu.
“Kita tak boleh berpura-pura nak wujudkan kerajaan Melayu semata-mata. Malaysia adalah negara majmuk. Sebab itu pemimpin UMNO terdahulu bina asas negara ini dengan realiti masyarakat berbilang kaum. Prinsip itu juga menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mengambil kira kepelbagaian etnik dan agama, sekali gus menjamin kestabilan nasional.
“Tunjang negara tidak pernah berubah iaitu kedudukan Islam, Melayu dan institusi raja-raja tetapi dalam masa sama hak serta kesaksamaan untuk semua kaum perlu diambil kira. Kerajaan hari ini dibina atas asas itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rundingan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hampir dimuktamadkan. – UTUSAN










