ALOR SETAR: “Saya mahu berdoa depan Kaabah untuk arwah walid, umi dan adik-adik supaya mereka sentiasa dilindungi Allah di sana.”
Demikian luah Putri Qisya Nur Izzati, 12, yang mendapat tajaan menunaikan umrah daripada penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin.
Putri Qisya mengakui masih terkejut dan terharu apabila dimaklumkan tentang tajaan itu dalam satu majlis di Kuala Lumpur, semalam.
“Arwah pernah cakap memang jadi harapan mereka untuk ke Mekah namun tak kesampaian. Jadi bila dapat tajaan ini hati saya gembira sangat. Saya cuma terfikirkan untuk mendoakan mereka semua dan menunaikan hajat arwah yang tidak kesampaian.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Qobin kerana memberi peluang ini. Saya akan menunaikan umrah dengan mak teh (Nur Adliah Syuhada Ishak, 26) bila cuti sekolah nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pelajar SK Seberang Perak Baru itu akan menunaikan umrah bersama ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, yang juga guru al-Quran, pada cuti sekolah akan datang.
Selain tajaah umrah, Datuk Qobin turut menaja RM500 sebulan untuk perbelanjaan persekolahan Putri Qisya sehingga usianya 17 tahun.
Sementara itu, Nur Adliah, terharu atas penerimaan tajaan yang berlaku di luar jangkaannya.
“Kami ke majlis itu hanya untuk menerima bantuan sekolah. Tak sangka dapat tajaan ke Mekah. Saya memang tengah kumpul duit untuk ke sana dan kini impian itu ditunaikan,” katanya.
Mengenai perkembangan terkini anak saudaranya itu, Nur Adliah berkata, Putri Qisya semakin stabil secara emosi dan sudah mula kembali tersenyum, namun, mereka tidak pernah membiarkannya bersendirian kerana bimbang dirinya bersedih mengenangkan permergian sekelip mata ahli keluarganya itu.
Pada 7 Julai lalu, negara dikejutkan dengan berita enam beranak maut dalam kemalangan tragis di Sungai Korok berdekatan Kampung Kemboja, Jitra apabila kereta dinaiki mangsa ditemukan terhumban ke dalam sungai berkenaan.
Mangsa terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan Tuah Hayda, enam bulan sementara Putri Qisya tidak mengikuti mereka. – UTUSAN










