Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa menang Hadiah Nobel Keamanan - Utusan Malaysia

Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa menang Hadiah Nobel Keamanan

NAVI PILLAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSLO: Hadiah Nobel Keamanan dianugerahkan pada Jumaat kepada Navi Pillay dari Afrika Selatan, seorang hakim mengetuai tribunal pengadilan kes pembunuhan beramai-ramai di Rwanda dan tahun lalu mempengerusikan suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pillay kini menjadi hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang turut menyaksikan Myanmar dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, memainkan peranan penting dalam memastikan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai dibicarakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Jorgen Watne Frydnes, di Oslo, Norway.

Beliau menyambut berita itu dengan berseloroh mengenai hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sekian lama diketahui mahu memenangi hadiah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika anda bertepuk tangan sedikit lagi, mungkin saya akan berkongsi hadiah ini dengan Trump,” kata wanita berusia 85 tahun itu ketika menerima tepukan gemuruh sambil hadirin berdiri, seperti dirakam Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard di Nuremberg, Jerman dan dimuat naik ke rangkaian sosial X.

Pillay mengetuai Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB (COI), yang tidak mewakili pendirian rasmi badan dunia itu dan tahun lalu memutuskan bahawa pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di Gaza.

Beliau memberitahu AFP ketika itu bahawa pasukannya telah berkongsi ribuan maklumat dengan pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

PBB berkata, penganugerahan hadiah kepada Pillay, 85, membuktikan nilai hak asasi manusia yang semakin penting ketika ini.

Jawatankuasa Nobel berkata, anugerah itu diberikan kepada beliau ketika sistem undang-undang antarabangsa berada di bawah tekanan amat hebat dan institusi-institusinya diserang.

“Ketika dunia menghadapi cabaran yang mengancam kewujudannya, termasuk lebih banyak peperangan dan konflik berbanding tempoh lama sebelum ini, undang-undang antarabangsa bukan lagi sekadar pelengkap kepada keamanan serta keselamatan. Ia satu keperluan mutlak,” kata Frydnes.

“Komitmen Navi Pillay terhadap prinsip undang-undang sejagat dan pendirian moralnya teguh kekal menjadi pegangan sepanjang kerjayanya yang panjang,” kata jawatankuasa itu.

Dalam dunia yang dibelenggu konflik dan krisis, seramai 287 individu termasuk organisasi dicalonkan untuk menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang diplomasi serta kemanusiaan itu tahun ini.

Hadiah itu merangkumi pingat emas, diploma dan wang tunai berjumlah AS$1.2 juta (RM4.9 juta).

Anugerah itu akan disampaikan dalam satu majlis rasmi di Oslo pada 10 Disember, iaitu ulang tahun kematian pencipta hadiah berkenaan, pencipta dan dermawan Sweden, Alfred Nobel, pada 1896.

Hadiah Keamanan merupakan satu-satunya Hadiah Nobel yang disampaikan di Oslo, manakala pemenang bagi kategori lain diumumkan di Stockholm, Sweden. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini