KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan pembinaan sekolah sebagai syarat wajib kelulusan kebenaran merancang bagi semua projek perumahan berskala besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menangani masalah kepadatan pelajar dan kekurangan tapak sesuai untuk kemudahan pendidikan khususnya di kawasan bandar.
“Pembinaan sekolah akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu. Manakala pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga komited meningkatkan kadar penyertaan prasekolah dan sekolah menengah kepada 98 peratus sekali gus mengatasi purata global.
“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama di peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia menyasarkan peningkatan kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa berasaskan penanda aras Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). – UTUSAN








