ALOR SETAR: Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dilapor tidak mempertikai kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman di rumah memperkukuh kedudukan institusi Raja Berperlembagaan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, pengesahan itu juga menzahirkan keprihatinan Seri Paduka terhadap prinsip keadilan dan ihsan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kes yang kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk prosiding semakan substantif itu menunjukkan sistem kehakiman mengiktiraf kewujudan asas kukuh untuk mempertimbang pelaksanaan tahanan rumah yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Namun, kelewatan pelaksanaan titah itu menimbulkan persoalan besar terhadap kecekapan pentadbiran dan penghormatan terhadap titah diraja yang sah menurut undang-undang.
“UMNO sendiri telah merafak sembah memohon agar titah tersebut dilaksanakan segera, demi menjunjung kuasa raja dan prinsip keadilan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Farhan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula jelas menyimpang daripada tatasusila dalam menanggapi titah diraja.
Katanya, kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah wujud usaha tersirat dalam memperkecil kedudukan institusi raja dan memperlekeh proses pengampunan yang sah.
“Ini amat dikesali dan tidak wajar dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa seruan reformasi kehakiman yang sering dilaungkan, termasuk cadangan menstruktur semula komposisi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), masih belum diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
“Fakta bahawa Perdana Menteri masih melantik lima daripada sembilan ahli JAC kekal menjadi persoalan besar dalam menjamin kebebasan mutlak badan kehakiman,” katanya.
Ujar beliau, mana-mana pihak tidak boleh bersikap selektif dalam menghormati titah diraja hanya apabila ia selari dengan naratif politik sendiri kerana prinsip undang-undang tidak boleh dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu. – UTUSAN









