MUAR: Pelabur asing tidak akan datang ke negara yang mempunyai banyak hutang atau enggan membayar hutang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan isu hutang negara kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang.
Beliau berkata, pada 2022 jumlah hutang negara adalah RM100 bilion, namun turun kepada RM90 bilion (2023) dan RM80 bilion tahun ini.
“Kita kawal supaya tiada tambahan hutang besar.
“Memang betul, hutang negara masih banyak. Kalau tak bayar, siapa nak datang melabur? Negara yang enggan bayar hutang tidak akan menarik pelabur,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini, hari ini.
Anwar berkata, walaupun ada pihak mempersoalkan kenyataannya yang sering menyentuh isu hutang, namun ia adalah hakikat yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, dasar kewangan kerajaan kini lebih berhemah apabila pinjaman baharu berkurangan secara berperingkat.
Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya beban hutang tidak ditanggung oleh anak cucu kelak.
“Kalau saya belanja besar sekarang, semua suka. Tapi siapa nak bayar nanti? Anak-anak kita. Itu bukan cara urus ekonomi dengan bertanggungjawab,” katanya.
Anwar turut menempelak amalan pentadbiran terdahulu yang menurutnya menggunakan hutang untuk kepentingan peribadi dan bukan pembangunan rakyat.
Katanya, perjuangannya bukan bersifat peribadi tetapi demi memastikan kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat.
“Kalau hutang untuk projek luar bandar, kita boleh terima. Tapi kalau hutang untuk sakau, itu yang kita lawan,” katanya.
“Seorang anak pemimpin ada RM1.2 bilion, seorang lagi keluarganya RM4 bilion. Bila kita ambil tindakan, dituduh dendam. Saya tak peduli orang, saya nak ambil balik duit rakyat,” katanya. – UTUSAN










