PARLIMEN: Pastikan SST tidak bebankan rakyat

PARLIMEN: Pastikan SST tidak bebankan rakyat

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan terus memantau harga barangan khususnya makanan asas bagi memastikan kos sara hidup rakyat tidak terbeban susulan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pemantauan secara berterusan itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari semasa ke semasa selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan harga.

Menurutnya, kadar inflasi makanan direkodkan lebih tinggi berbanding inflasi keseluruhan negara iaitu pada kadar 2.1 peratus bagi bulan Jun dan 2.4 peratus secara purata bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 berbanding inflasi nasional sebanyak 1.1 peratus.

“Apabila peluasan SST dilaksanakan, kita sememangnya sedar akan kemungkinan berlakunya peningkatan harga barangan khususnya makanan. Justeru, KPDN telah bersedia untuk menjalankan pemantauan rapi dan menyeluruh.

“Sasaran kita adalah memastikan tiada kenaikan harga barangan keperluan asas. Kerajaan komited memastikan kos sara hidup kekal terkawal dan rakyat tidak terbeban,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai usaha mengekang inflasi makanan dan kesan peluasan SST terhadap kawalan harga makanan di pasaran.

Hui Ying berkata, sebarang kesan terhadap harga barangan hasil peluasan SST akan ditangani secara proaktif melalui pemantauan lapangan serta intervensi dasar yang bersesuaian.

Terdahulu, Hamzah berkata, kenyataan kerajaan yang menggambarkan keadaan ekonomi negara dalam keadaan baik tidak diterjemah kepada realiti yang dihadapi rakyat.

Katanya, realiti dihadapi rakyat amat berbeza terutama isu inflasi makanan, antara didedahnya harga ikan kembung yang meningkat daripada RM14.80 kepada RM16 sekilogram di Kuala Lumpur selepas peluasan SST.

“Bila saya mendengar jawapan daripada timbalan menteri angka-angka (inflasi makanan) ini menunjukkan bahawa prestasi baik sekali, tak payahlah buat himpunan rakyat pada hari Sabtu ini.

“Inflasi makanan ini sebenarnya meningkat. Dia kena lihat dari segi realitinya yang menyebabkan rakyat tertekan. Fokus yang kita nak adalah supaya kerajaan mencari jalan untuk menurunkan inflasi makanan ini.

“Selain itu, jangka masa sasaran strategi yang dibuat oleh kerajaan kerana menaikkan SST itu apakah mampu untuk menurunkan harga makanan? Tidak payahlah kita cerita tentang Jualan Rahmah kalau harga yang sebenarnya masih lagi naik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×