KUALA LUMPUR: Semua penyedia perkhidmatan digital asing dikenakan Cukai Perkhidmatan (Perkhidmatan Digital) tanpa mengira negara selagi memenuhi kriteria sebagai penyedia perkhidmatan digital kepada pengguna di Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyedia perkhidmatan digital luar negara seperti Netflix, Apple, Microsoft dan Google diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), selain memungut serta menyerahkan cukai perkhidmatan apabila perkhidmatan mereka digunakan pelanggan di negara ini.
Katanya, langkah itu memastikan platform digital asing memikul tanggungjawab cukai yang sama seperti penyedia perkhidmatan tempatan sekali gus mewujudkan pasaran digital yang lebih adil dan seimbang.
“Pelaksanaan Cukai Jualan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) dan SToDS merupakan strategi kerajaan untuk memperkukuh pematuhan cukai dalam ekonomi digital yang semakin berkembang dan kompleks.
“Kedua-dua mekanisme ini dilaksanakan bagi menangani isu ketirisan hasil, terutama melibatkan transaksi digital dan rentas sempadan yang sebelum ini tidak termasuk dalam rangkuman cukai negara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH–Bakri) mengenai mekanisme pengutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau cukai lain bagi transaksi dalam talian melibatkan penyedia luar negara, jumlah kutipan sejak 2021 hingga 2025 serta barangan import melalui portal luar negara yang dikecualikan SST dan alasan pengecualiannya.
Mengulas pelaksanaan LVG, Amir Hamzah berkata, sebelum pelaksanaannya pada 1 Januari 2024, barangan import bernilai RM500 ke bawah memasuki pasaran tempatan tanpa dikenakan cukai jualan walaupun peniaga tempatan perlu membayar cukai yang sama serta menanggung kos operasi lebih tinggi.
Katanya, keadaan itu mewujudkan ketidakseimbangan persaingan dan menjejaskan daya saing peniaga tempatan.
“Pelaksanaan LVG berjaya menutup jurang tersebut serta memastikan penjual dalam dan luar negara kini tertakluk kepada cukai jualan yang sama.
“Ini sekali gus mengelakkan pengguna daripada melihat barangan import sebagai lebih murah hanya kerana tidak dikenakan cukai, selain memberi peluang kepada peniaga tempatan bersaing berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan,” katanya.
Tambah beliau, SToDS pula diwujudkan untuk memastikan penyedia digital tempatan dan asing berada pada landasan cukai yang setara.
“Semua penyedia perkhidmatan digital asing yang memenuhi syarat wajib berdaftar dengan JKDM dan melaksanakan pemungutan cukai kerana perkhidmatan mereka digunakan oleh pelanggan di Malaysia.
“Usaha ini memastikan persekitaran pasaran digital yang adil serta menutup ruang ketirisan hasil negara,” katanya.
Amir Hamzah berkata, tiada pengecualian cukai jualan diberikan ke atas barangan diimport melalui portal luar negara dan semua barangan yang disenaraikan dalam Perintah Cukai Jualan 2025 tertakluk kepada cukai jualan tanpa mengira sama ada ia diimport atau dibeli daripada pengeluar tempatan.
“Jumlah kutipan hasil berkaitan LVG dan SToDS adalah RM2.01 bilion iaitu RM476 juta bagi LVG dan RM1.62 bilion bagi SToDS.
“Bagi 2023, jumlah kutipan SToDS berjumlah RM1.15 bilion manakala pada 2022 (RM999 juta) dan 2021 (RM802 juta),” katanya. – UTUSAN










