Op Metal: SPRM sita aset lebih RM183 juta

Op Metal: SPRM sita aset lebih RM183 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri yang bermula semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri yang bermula semalam.

Menurut sumber, serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Op Metal secara Multi Agency Task Force itu turut membekukan 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta.

Katanya, aset yang disita itu melibatkan lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit Penthouse di Tanjung Tokong, satu unit lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar tanah di Batu Uban, 5.6 ekar tanah di Juru selain lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.

“SPRM juga turut menyita enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.

“Pada serbuan itu juga, SPRM turut menyita lima unit jam tangan berjenama Patek Phillippe, Tag Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Ketika dihubungi mengesahkan mengenai pembekuan akaun-akaun perbankan berkenaan serta sitaan melibatkan hartanah, kenderaan mewah erta jam tangan terbabit.

Katanya, susulan operasi pada Isnin itu, SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang hari ini.

“SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

“Fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009.

“Penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat alam operasi ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×