Malaysia kekal berkecuali sebalik kuasa besar dunia

Malaysia kekal berkecuali sebalik kuasa besar dunia

MALAYSIA dan ASEAN perlu kekal berkecuali sebalik kuasa besar dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus kekal berkecuali secara jelas dalam mengemudi hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China selaras dengan kedudukannya sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar luar negara perlu digerakkan secara berhati-hati agar tidak menimbulkan tanggapan bahawa Malaysia memihak kepada mana-mana kuasa besar.

Katanya, AS kekal sebagai pelabur terbesar di Malaysia manakala China pula telah lama menjadi rakan dagang utama negara.

“Kita sangat seimbang. Malaysia ialah sebuah negara perdagangan. Ekonomi kita bergantung kepada perdagangan dan kita tidak mampu untuk dilihat condong kepada mana-mana pihak.

“Justeru, kita perlu mengemudi dasar luar negara termasuk dasar luar ASEAN sendiri agar tidak dilihat seolah-olah kita memihak kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penutup selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AAM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ASEAN juga perlu terus memperkukuh kedudukannya sebagai blok yang berkecuali bagi mengekalkan kestabilan serantau.

“Setakat ini, kita berada dalam zon aman dan berkecuali. Maka kita kekal berkecuali dan mengimbangi kedudukan ini dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, AS kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dengan kira-kira 60 peratus eksport Malaysia ke AS terdiri daripada produk E&E dan separuh daripadanya merupakan komponen semikonduktor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN