Malaysia gesa guna diplomasi selesai konflik Thailand-Kemboja

Malaysia gesa guna diplomasi selesai konflik Thailand-Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mahu pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja diselesaian menerusi saluran dialog dan diplomasi selaras semangat ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga menggesa kedua-dua pihak untuk menunjukkan tahap kawalan diri yang paling tinggi serta mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan.

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, memerhati dengan penuh kebimbangan berhubung pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di sempadan pertikaian yang telah mengakibatkan korban jiwa. 

“Malaysia menggesa kedua-dua pihak untuk menunjukkan tahap kawalan yang paling tinggi serta mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, ketegangan antara Bangkok dan Phom Penh kembali memuncak selepas tentera Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran askar Kemboja pada Khamis.

Insiden pertempuran terbaharu itu tercetus selepas Phnom Penh didakwa menembak roket dan artileri hingga meragut nyawa orang awam selain beberapa termasuk kanak-kanak dilaporkan cedera.

Mohamad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai serta membuat rayuan secara langsung kepada kedua-dua pemimpin tersebut untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera.

Katanya, ia bagi mengelakkan permusuhan selanjutnya dan memberi ruang kepada dialog aman serta penyelesaian diplomatik.

“Malaysia bersedia menawarkan bantuan melalui khidmat baik sebagai Pengerusi ASEAN untuk memudahkan jalan penyelesaian yang harmoni dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN