Mahkamah Rayuan Paris tangguh keputusan tuntutan Sulu

Mahkamah Rayuan Paris tangguh keputusan tuntutan Sulu

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Paris menangguhkan keputusan berhubung permohonan Malaysia untuk membatalkan award akhir bernilai AS$14.9 bilion yang difailkan oleh pihak mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu pada 9 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penangguhan dibuat susulan perbicaraan yang berlangsung pada 7 Julai lalu, di mana mahkamah telah memuktamadkan pendengaran berhubung merit kes berkenaan.

“Semasa perbicaraan tersebut, pihak penuntut cuba menangguhkan prosiding bagi membolehkan mereka memberi maklum balas terhadap pandangan bertulis yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya Perancis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, mahkamah menolak permintaan itu dan meneruskan prosiding seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan.

Azalina berkata, Malaysia menaruh keyakinan terhadap proses kehakiman Mahkamah Rayuan Paris untuk membawa penamat yang adil dan muktamad terhadap tuntutan kumpulan Sulu seiring dengan pendirian yang diambil oleh mahkamah-mahkamah di Sepanyol dan Belanda sebelum ini.

Katanya, kerajaan turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga bagi mengelakkan sebarang unsur pemaksaan terhadap negara-negara berdaulat.

“Malaysia terus memperjuangkan pembangunan satu kerangka global yang meletakkan ketelusan sebagai asas dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga.

“Ini bagi memastikan mekanisme undang-undang yang sepatutnya memperluas akses kepada keadilan tidak dimanipulasi menjadi alat tekanan terhadap negara berdaulat.

“Timbang tara antarabangsa mesti dilindungi daripada sebarang cubaan memeras ugut dengan menyamar di sebalik tuntutan undang-undang,” katanya.

Kata Azalina, Kerajaan Madani komited dalam mempertahankan kedaulatan negara serta integriti sistem timbang tara antarabangsa.

Sebelum ini, tuntutan asal difailkan oleh lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung isu berkaitan Sabah.

Mereka memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol pada 2018 dan pada Mac 2019, mahkamah di Madrid telah melantik Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara kes tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid membatalkan pelantikan Stampa pada 2021.

Bagaimanapun, Stampa tetap meneruskan proses timbang tara dan pada 28 Februari 2022, mengeluarkan award akhir yang memihak kepada kumpulan itu dengan jumlah tuntutan sebanyak AS$14.9 bilion.

Keputusan tersebut dianggap tidak sah memandangkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh mahkamah.

Malaysia meraih beberapa kemenangan penting dalam usaha mempertahankan kedudukannya termasuk keputusan Mahkamah Agung Perancis pada November lalu yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan oleh kumpulan Sulu.

Keputusan itu sekali gus mengesahkan award akhir tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN